Dunia masakan bukan sesuatu yang asing buatnya malah kecekapannya di dapur sudah dipupuk sejak usia remaja. Segala-galanya bermula secara kebetulan, ketika beliau berada di dalam tentera.
Minatnya yang mendalam dalam masakan membawa anak kelahiran Korea Selatan, Cef Jungsik Yim, 39, lebih jauh dalam kerjayanya sebelum ini. Di gelar sebagai perintis ‘Masakan Korea Baru’ terutama caranya yang unik dengan mengambil hidangan tradisional Korea, mencipta semula dengan sentuhan lebih moden dan segar.
Mengimbau titik permulaan bergelar cef adalah ketika beliau berada di dalam tentera. Ketika salah seorang tukang masak pergi bercuti, tanpa sengaja beliau perlu menjadi tukang masak gantian selama dua minggu. Ketika itulah pertama kali, beliau berfikir memilih untuk menjadi tukang masak sebagai kerjaya.
“Selepas bertugas sebagai tentera, saya bekerja di beberapa tempat sebelum ke Institut Kulinari Amerika di New York pada tahun 2003 kerana saya bersungguh-sungguh ingin menjadi tukang masak profesional. Dua tahun kemudian saya lulus dan bekerja di restoran Aquavit dan restoran David Bouley di New York serta restoran makanan terbaik Sepanyol iaitu Zuberoa dan Akelarre. Di situlah kerjaya saya bermula” katanya yang menceritakan permulaan kerjayanya sebagai cef.
Makanan Korea Baru
Sejak kebelakangan ini, makanan Korea telah mendapat tempat secara global. Kimchi kini dinikmati di seluruh dunia yang menjadi kan makanan dari Korea itu lebih popular berbanding sebelum ini.
Walaupun makanan Korea menjadi lebih popular bagi penduduk di Malaysia, ia hanya terhad kepada beberapa menu tertentu seperti Bulgogi (daging yang diasinkan) dan juga Bibimbap (hidangan nasi campuran).
Menurut Cef Yim, antara faktor makanan Korea pantas menjadi popular adalah di pengaruhi oleh populariti drama dan muzik kpop yang menjadi kegilaan anak-anak muda. Secara tidak langsung makanan Korea turut di kenali dan mendapat tempat di pasaran. Makanan Korea sememangnya unik dan berbeza dari negara-negara lain di Asia.
“Saya mendalami makanan Korea dengan lebih terperinci dan memberi mesej bahawa makan Korea ini bukan sahaja kimchi ataupun barbeku Korea, tetapi lebih dari itu. Itu yang saya tekan dan ingin sampaikan.
“Mengubah makanan yang sedia ada kepada apa sahaja trend masa kini. Penekanan dari segi bahan, teknik dan persembahan sesuatu jenis menu yang hendak dihidangkan,” ujarnya yang yakin bahawa masakan tradisional Korea mampu ke pentas makanan dunia.
Selain itu, di tanya adakah makanan Korea boleh dinikmati oleh masyarakat Islam khasnya, bagi nya sudah pasti boleh. Ini kerana di Korea terdapat banyak kedai yang menjual makanan Korea yang halal untuk dinikmati.
“Saya selalu berpesan kepada pelajar-pelajar saya supaya fokus dan fokus. Jika seseorang itu mempunyai idea yang bagus dan makanan yang enak tetapi tidak fokus, anda tidak akan berjaya. Begitulah pentingnya fokus dalam sesuatu pekerjaan,” nasihatnya yang baru tiga tahun berumah tangga dengan seorang usahawan yang mempunyai 10 buah restoran.
PROMOSI FINE DINING KOREA
Makanan Korea dianggap sebagai makanan seimbang yang memenuhi trend penggunaan makanan dunia dalam kesihatan dan rasa. Pada tahun 2004, WHO telah memilih makanan Korea sebagai makanan seimbang, dan pada 2006, Kimchi dipilih sebagai salah satu daripada lima makanan kesihatan teratas di Amerika Syarikat oleh majalah Kesihatan.
Sehingga kini, populariti makanan Korea terus berkembang, terutamanya di Asia Tenggara ia mempunyai potensi yang lebih besar berkembang.
“Saya rasa gembira apabila dijemput ke Malaysia dan menganggap ia sebagai satu peluang keemasan untuk mempromosikan makanan Korea secara fine dining. Saya akan memperkenalkan versi yang diubahsuai sedikit dari hidangan tradisional Korea.
“Antara hidangan popular yang disajikan iaitu fried octopus with gochujang ( pes cili merah Korea) aioli iaitu sotong yang di masak dengan menggunakan api yang perlahan dan di goreng sempurna.
“Selain itu, tetamu juga akan dihidangkan tiga menu utama lain dan pemanis mulut yang istimewa,” terangnya yang turut berpesan kepada masyarakat Malaysia untuk mencuba tiga menu Korea iaitu, Gomtang (sup daging), Naengmyeon (mi sejuk) dan Bibimbap yang mempunyai tarikan tersendiri.