AIR KATIRA TAK PERLU LAGI TUNGGU BULAN PUASA

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Katira atau getah anggur ini digunakan sebagai bahan utama dalam minuman air katira yang sangat popular di negeri Johor. Menariknya, minuman ini selalunya hanya boleh dijumpai pada bulan ramadan. Sejarah asal usul minuman ini tidak dapat disahkan dengan tepat kerana ada yang kata ianya bermula dari Singapura. Tapi ada pula yang kata, minuman ini merupakan minuman kegemaran orang Islam di India Selatan.

GETAH ANGGUR ATAU KATIRA

Jika di Johor, air katira yang banyak dijumpai biasanya bewarna hijau. Namun variasi warna khatira adalah bergantung kepada perisa sirapnya. Ada sirap kosong, sirap pandan, sirap ros dan ada juga yang menggunakan sirap gula merah.

Bahan-bahan untuk menyediakan air katira ini hanyalah campuran getah katira, biji selasih, buah kembang semangkuk, cincangan agar-agar warna, sirap gula pandan kosong atau berwarna. Boleh juga dicampur dengan bahan campuran tambahan seperti kurma, buah kabung, kismis atau kekacang. Susu cair pula, ditambah untuk melemakkan rasa.

Tapi air khatira versi moden ada yang ditambahkan dengan aiskrim soda untuk rasa yang berbeza. Katira ini sememangnya sangat bermanfaat untuk menyejukkan badan sama fungsinya seperti buah kembang semangkuk. Kandungan bahan-bahan herba yang terkandung dalam minuman ini sememangnya diketahui umum mampu membekalkan tenaga dan sangat berkhasiat. Di sebabkan itulah air katira ini sangat popular di bulan Ramadan. Bagi yang teringin untuk membuat sendiri air katira ini, tidak perlu tunggu bulan puasa. Nahhh…resipinya..!

AIR KHATIRA

BAHAN-BAHAN

20 ml susu cair

1 ½ sudu kecil susu pekat

20 ml ais krim soda atau air gula batu

1 sudu kecil buah kembang semangkuk – rendam hingga kembang

½ sudu kecil biji selasih – rendam hingga kembang

½ sudu kecil esen vanila

½ biji isi buah kurma

½ cawan getah khatira – rebus

Sedikit pewarna hijau

CARA PENYEDIAAN

  • Masukkan susu cair, susu pekat, ais krim soda atau air gula batu ke dalam bekas air.
  • Kemudian masukkan sedikit pewarna hijau dan kacau rata.
  • Masukkan buah kembang semangkuk dan biji selasih yang telah direndam, diikuti isi buah kurma dan air getah khatira yang telah direbus.
  • Kacau hingga rata dan masukkan ais. Sedia diminum.

*** Tentu ramai tertanya-tanya dimana nak mendapatkan katira ini kan? Katira ini selalunya mudah diperolehi di kedai runcit orang India. Ia juga dikenali dengan nama Karaya Gum atau nama botanikalnya sterculia urens.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan