Jika anda menyusuri jalan dari Seremban ke Kuala Pilah tentu anda dapat menyaksikan di kiri kanan jalan deretan gerai salai yang menggantung itik, daging lembu, ikan keli dan ayam kampung. Pengguna jalan di situ mungkin sudah biasa mendengar tentang keenakan makanan warisan Kuala Pilah dan tahu tentang keunikan masakan turun temurun itu.

Peniaga produk salai, Zaini Saad, 36, mewarisi resipi turun-temurun daging salai daripada ibu mentuanya. Berkongsi cerita resipi masak lemak cili apinya yang cukup terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk setempat, malah pelancong luar yang datang ke sini semata-mata untuk makan di kedainya.

Mengusahakan Zaini Salai House di Kampung Ulu Bendul,Tanjung Ipoh,  Zaini berkata, semuanya bermula apabila ramai yang berkunjung ke sini ingin membeli ayam, itik, keli dan burung puyuh salai bertanya cara untuk menyediakan masakan tersebut. Dari situlah tercetusnya membuka kedai makan salai sehingga hari ini.

“Mereka yang singgah ke sini mahu membeli produk salai dan dalam masa yang sama boleh menjamu selera dengan pelbagai menu  yang dihidangkan dari produk salai. Di sini semua masakan lemak menggunakan produk yang disalai.

“Menu seperti gulai ayam kampung, gulai daging, ikan keli dan rendang itik, semuanya disalai terlebih dahulu,” katanya yang tidak mahu melihat makanan tradisi masyarakat Melayu Negeri Sembilan hilang ditelan zaman.

Tambahnya lagi, setiap masakan perlu kena dengan jodohnya. Seperti gulai daging perlulah bersama rebung ataupun terung telunjuk atau pucuk ubi. Bagi ayam kampung, itik salai dan burung puyuh perlulah bersama pucuk pegaga. Manakala daun maman digunakan untuk masak rendang itik atau gulai ayam kampung.

“Kalau tidak kena jodohnya tak sedap,” katanya membuka rahsia sesuatu masakan itu lebih sedap.

Zaini Salai House dibuka setiap hari kecuali Rabu dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Dia juga merancang  membuka restoran nya setiap hari selepas ini jika kakitangan mencukupi.

Zaini dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangannya di Senawang tidak lama lagi.