Ada yang panggil kapur sirih, setengahnya pula panggil kapur makan. Namun pernah tak anda terfikir, bagaimana kapur sirih ini dihasilkan? Kalau nak tahu, warna putih kapur yang likat itu sebenarnya adalah kandungan kalsium yang sangat baik untuk pembentukan tulang badan kita.
Kalsium yang diperolehi itu, datangnya daripada cengkerang seperti kepah, kupang, siput, lokan, remis dan hidupan laut yang bercengkerang. Kapur sirih yang dijual di negara kita kebanyakannya diperbuat daripada cengkerang kepah dan lokan.
Cengkerang kepah atau lokan akan dibakar sehingga menjadi abu. Proses pembakaran menggunakan kayu api. Setelah cengkerang menjadi abu, ia ditapis bagi mengasingkan benda asing lain. Kemudiannya serbuk abu dicampurkan dengan air dan disebatikan sehingga likat.
ISTIMEWANYA KAPUR SIRIH
- Sapukan sedikit kapur pada gigitan nyamuk, kesan bengkak atau merah pada kulit akan hilang. Begitu juga jika digigit serangga, akan hilang rasa sakit.
- Boleh mengurangkan jerawat pada muka tetapi jangan disapu pada luka yang terdedah kerana ia amat berbahaya.
- Menghilangkan ruam badan dengan mencampurkan sedikit dengan bedak sejuk dan disapukan nipis pada badan.
- Jika anda sering batuk, sapukan sedikit kapur pada kerongkong di bahagian luar, dan ia boleh mengurangkan batuk.
- Jika mendadar lempeng atau kuih ketayap, bubuhkan sedikit kapur dan ia akan membantu dadaran anda tidak melekat pada kuali.
- Rendam peria dengan sedikit kapur bagi mengurangkan rasa pahitnya.
- Rendaman timun, cili, lobak merah atau buah-buahan dalam air kapur bagi proses merangupkan sebelum dijadikan jeruk atau untuk dibuat acar.
- Bagi mengatasi masalah bau ketiak, ambil sesudu kapur dan campurkan dengan perahan limau. Sapukan pada ketiak untuk menghilangkan bau dan memutihkan kesan hitam pada ketiak.
Lebihan kapur boleh digunakan untuk menangkap ambal ataupun siput buluh di pantai ketika air surut. Kapur ditaburkan pada lubang ambal, tindak balas air laut dengan kapur akan menghasilkan rasa panas pada lubang dan ambal akan timbul ke permukaan . Ia memudahkan proses penangkapan, tanpa perlu mengali lubang.