Sebagai wanita bekerjaya, Saji pasti masa di dapur semakin terhad. Kadang kala seharian tidak menjenguk pun ke dapur untuk memasak. Kita lebih selesa membeli makanan di luar terutama lauk pauk dan hanya memasak nasi di rumah. Iyalah, sebahagian besar masa diluangkan di pejabat, jadi apabila di rumah, tentulah masa yang tinggal, dihabiskan bersamaa keluarga tercinta.

Kadang kala apabila memasak, masa banyak dihabiskan dengan menyediakan bahan-bahan seperti bawang dan cili. Dengan memotong, menumbuk dan mengisar, persediakan memakan masa sekurang-kurangnya 30 minit sebelum bermula di kuali.

Disini, Saji ingin berkongsi sedikit tips bagaimana mahu menjimatkan masa dalam menyediakan hidangan dan sekaligus menjimatkan perbelanjaan bulanan.

  • Pada cuti hujung minggu, sediakan sambal goreng dalam kuantiti yang banyak dan simpan di dalam peti ais. Jadi anda hanya perlu menggoreng ikan atau ayam dan campurkan sambal tadi. Jika mahu menyediakan udang petai, hanya campurkan udang dan petai.
  • Kupas bawang putih dan kisar. Letakkan di dalam bekas dan simpan di dalam peti sejuk. Jadi setiap kali ingin memasak, hanya perlu ceduk dan masukkan dalam kuali. Jangan lupa lakukan yang sama untuk halia, cili dan bawang besar.
  • Selepas membeli ikan atau ayam, terus siang dan bersihkan sebelum disimpan di dalam peti ais. Jadi hanya perlu keluarkan apabila mahu memasak.
  • Untuk setiap lauk seperti ikan, ayam atau daging, asingkan di dalam satu bekas untuk satu hidangan di peti sejuk beku. Jadi tidak perlu keluarkan semua untuk dinyahbekukan. Contohnya, jika setiap kali memasak, anda gunakan 5 hingga 6 ketul, asingkan dalam jumlah tersebut di dalam bekas.
  • Potong kecil isi ayam dan daging dan letakkan di dalam satu bekas. Boleh digunakan untuk menyediakan nasi goreng atau mee goreng.
  • Rancang menu selama seminggu dan sediakan bahan-bahannya pada hari minggu. Jadi pada hari bekerja, anda hanya perlu keluarkan bahan-bahan dan terus memasak. Tidak perlu pening-pening mencari bahan di dalam peti sejuk.
  • Pada malam hari, letakkan ayam, ikan atau daging di peti sejuk bahagian bawah mengikut hidangan yang ingin dimasak pada keesokan harinya. Jadi pada waktu bahan ingin dimasak, ia telah sempurna dinyahbekukan.
  • Mulakan memasak dengan menggoreng terlebih dahulu dan akhiri proses memasak dengan hidangan berkuah. Jadi tidak perlu membasuh kuali dengan kerap.
  • Basuh sayur-sayuran terlebih dahulu sebelum disimpan di dalam peti ais. Jika mahu lebih jimatkan masa, sewaktu memasak, terus potong sayur di dalam kuali menggunakan gunting.
  • Bagi sayuran berair seperti tomato, brokoli dan lain-lain, balut dengan aluminium foil mengikut jenis supaya lebih tahan lama dan simpan di dalam peti sejuk.
Noni Wahab

Noni Wahab

More Posts - Website

Follow Me:
FacebookInstagramYouTube