TIPS DI DAPUR

Sinki Tersumbat

Sebenarnya garam kasar boleh berfungsi sebagai bahan pelarut bagi sisa-sisa yang tersumbat dalam saluran sinki. Masukkan garam kasar ke dalam lubang sinki dan kemudian curah air panas. Sisa-sisa tadi akan larut.

 

Hilangkan Hamis Daging Kambing

Sememangnya daging kambing kurang menjadi pilihan kerana baunya yang hamis. Untuk menghilangkan bau tersebut, semasa membasuh daging, ramas bersama daun gajus dalam air selama beberapa minit. Kemudian bilas dan masak seperti biasa. Ianya bukan sahaja menghilangkan bau yang kurang enak, malah menyedapkan rasa daging kambing tersebut.

 

Halau Kutu Beras

Untuk menghalau kutu-kutu beras, anda boleh mengambil beberapa helai daun serai, simpulkan ia dan letakkan di dalam tong beras. Dalam beberapa jam, kutu-kutu beras akan keluar.

 

Bubur Kacang Lebih Enak

Bubur kacang sama ada kacang merah atau kacang hijau memang merupakan pencuci mulut yang menjadi kegemaran ramai. Untuk mendapatkan bubur kacang yang lebih enak, sebelum merebus kacang, elok digoreng tanpa minyak terlebih dahulu. Goreng sehingga agak garing sedikit dan berbau wangi. Selepas itu, rendam dalam air lebih kurang 2 jam supaya ia cepat kembang dan lebih cepat masak. Insya-Allah anda akan mendapat bubur kacang yang lebih enak kerana bangkit bau wanginya.

 

Elak Pulut Kuning Cepat Basi

Rendamkan pulut kuning semalaman agar elok kembangnya. Campurkan beberapa keeping asam gelugur auat air kelapa, agar pulut kelihatan berkilat setelah dimasak. Untuk mengelakkan pulut cepat basi, perah santan menggunakan air suam. Kemudian panaskan santan dengan garam. Tetapi jangan sampai mendidih. Didih kukusan terlebih dahulu. Untuk mendapatkan pulut yang wangi, siat daun pandan sebelum tanak atau kukus. Gaulkan santan dengan pulut ketika pulut masih panas, agar tidak melekat.