FOTO : MOHD IZWAN ZAINAL

Terpancar ketenangan dan eleman santai saat pertama kali menjejakkan kaki ke Golden Valley yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Sentuhan damai pada dekorasi dengan memilih padanan warna tanah, namun susunan pasu porselin yang tergantung megah di setiap penjuru restoran tanda Golden Valley adalah restoran yang menyajikan menu masakan Cina.

Beroperasi sejak tahun 2014, namun Golden Valley diiktiraf antara restoran yang terbaik dalam penyediaan makanan Cina halal di Kuala Lumpur. Lihat sahaja pelanggan menyerbu saban hari apatah lagi pada hujung minggu.

Popular dengan hidangan chili crab, kam heong dan hidangan salutan telur asin antara menu yang sering mendapat sambutan. Sampaikan ada pelanggan yang sanggup datang tiga kali seminggu dan memesan 2 kilogram chili crab untuk santapannya seorang diri. Woww…! Biar betul..

Amat menitikberatkan elemen halal dalam setiap hidangan, kata pemilik, Ying Chua, setiap bahan mentah yang digunakan mendapat pengiktirafan sijil halal. Segalanya demi memenuhi kepuasan pelanggan beragama Islam. Berasal dari Sungai Petani Kedah, membesar dalam persekitaran masyarakat Melayu membolehkannya memahami persoalan halal haram dalam penyediaan makanan.

“Disebabkan saya mempunyai ramai kawan berbangsa Melayu, jadi memang banyak permintaan untuk merasai sendiri hidangan autentik berbangsa Cina versi halal. Jadi saya dan suami mengambil inisiatif membuka restoran yang menyediakan hidangan halal. Walaupun bahan asas telah diubah, namun kami sedaya upaya mengolah resipi agar rasanya tidak lari daripada yang asal. Golden Valley ini juga adalah alternatif bagi masyarakat Cina yang telah memeluk agama Islam untuk merasai kembali hidangan autentik Cina yang halal.

Memilih untuk lari daripada kebiasaan dekorasi restoran Cina yang lain, Ying Chua memilih untuk mengutamakan ketenangan dan gaya santai bagi pengunjung. Pemilihan perabot dan susunan hiasan memberi nilai tambah kepada gaya elegan yang ditonjolkan. Lebih istimewa hiasan pasu dibawakan khas dari Jindezhen, Bandar Porselin di China.

Sememangnya diakui sukar mendapatkan hidangan autentik Cina terutamanya pun choy yang dikenali sebagai treasure pot. Hidangan yang sangat terkenal di Hong Kong ini menggabungkan semua bahan utama di dalam satu periuk. Golden Valley membawakan khas pun choy dalam versi halal untuk dinikmati oleh semua golongan. Istimewanya hidangan yam basket  juga ada dijual sepanjang masa di sini.

Alamat : LGB Tower, Lower Ground Floor, 1, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur