SYHHHH…RAHSIA

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Tahukah bahawa anda tidak perlu lagi memandu ke Larkin untuk menikmati Kacang Pool? Malah Mee Bandung terhebat juga disediakan daripada air tangan si ibu? Maaf Rahsia Kopitiam, Saji terpaksa pecahkan rahsia anda.

Bertempat di Bandar Baru Bangi, Rahsia Kopitiam menyajikan hidangan dari Johor khas untuk warga Lembah Klang. Aroma roti arab yang dihidangkan bersama Kacang Pool sukar untuk digambarkan. Uniknya air tangan ibu dan resipi tradisi keluarga menjadikan kacang pool bersama gabungan kemanisan roti arab, memberi letupan rasa yang cukup indah.

Dan Saji cukup teruja menikmati hidangan Mee Bandung Udang Muar Special. Tanggapan pertama cukup wow. Masakan tidak, deretan udang sudah membuakkan selera. Cetusan rasa kuah, cukup halus dan meninggalkan kesan keenakan yang cukup dalam. Dan resipinya bukan lagi rahsia kerana pemilik bersama sudi berkongsi resipi dengan pembaca Saji Online. Tunggu pada artikel seterusnya.

Menurut Suzana Jantan, pemilik bersama, Rahsia Kopitiam sudah mula beroperasi sejak 1 November 2013 dan menu utama menggunakan resipi turun temurun keluarga tanpa diubah sedikit pun bahan-bahannya. Berkongsi pengalaman indah ketika mengendalikan restoran ini, kata Suzana, pernah ada seorang pelanggan yang sanggup datang dari Pulau Pinang dan Hulu Selangor semata-mata mahu menikmati Kacang Pool, Mee Bandung dan Mee Rebus.

Dan tidak dilupakan juga Nasi Ambeng menjadi salah satu makanan pelengkap di sini. Jadi warga Johor yang bermastautin di Lembah Klang, jom lepas rindu di Rahsia Kopitiam.

FOTO ROHAIDA ZULKIFLI

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan