CAFÉ KECIL DI JALAN SUNYI – QIBLAH (SATU-SATUNYA MEE KOLOK DI BANGI)

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Misteri sungguh Café yang terletak di Bangi ini. Satu-satunya café kecil yang beroperasi di bangunan sunyi. Namun kata orang, walau tersembunyi celah mana pun, kalau sedap, memang jadi tumpuan. Dan lebih seronok, begitu mudah untuk meletakkan kereta kerana blok kedai yang lain masih belum beroperasi. Jadi sesuai untuk warga Bangi yang berkejar untuk makan tengahari.

Hanya menyediakan 3 menu utama iaitu Mee Kolok, Laksa Sarawak dan Nasi Dagang, namun sambutannya cukup luar biasa. Kata pelanggan yang berasal dari Bumi Kenyalang, Mee Kolok dan Laksa Sarawak di sini cukup enak, tidak ubah seperti di Sarawak. Boleh dibuat pengubat rindu tika berjauhan daripada kampung halaman. Maklumlah, dua menu ini pun daripada air tangan warga Kenyalang juga. Pastilah rasanya cukup asli dan umphhh. Kalau kepingin, cepat-cepat datang kerana café ini seringkali diserbu tiap kali waktu ‘lunch’. Kalau lambat, alamatnya gigit jarilah.

Dan kegemaran SAJI sudah tentulah Nasi Dagang dan Keropok Lekor. Menurut pemilik, Zalia Badaruddin, kesemua menu yang terdapat di sini dipilih hanya yang terbaik. Nasi Dagang dan Keropok Lekor dipilih daripada air tangan orang Terengganu sendiri bagi mengekalkan keaslian rasanya. Memang sedap sangat-sangat Nasi Dagang ni. Hidangan wajib jika anda berkunjung ke Qiblah.

Selain itu, terdapat juga 2 vendor seperti Kopi Cup dan The Pine Burger & Meatball. Antara bestseller jika anda berkunjung ke sini.

Cukup menarik apabila anda boleh memilih apa jua campuran perasa tanpa sebarang bayaran tambahan. Jika tiada masa untuk ke sini, Kopi Cup ada menyediakan servis penghantaran dengan pesanan minimum 5 cawan.

Dan untuk The Pine Burger & Meatball, patty yang diadun sendiri membuatkan rasanya agak berbeza dan lebih lembut. Lebih-lebih lagi, diselitkan kepingan keju di dalam setiap lapisan daging.

FOTO : MOHD ZULFAIZ ZAKARIA

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan