Street Food Langkawi – Wajib Makan

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Makan, satu penerokaan yang cukup mencabar. Bukan tidak mahu mencuba di tempat baru, namun kadang kala hasilnya menghampakan. Dan atas sebab itu, ada kalanya kita lebih selesa menjamah selera di tempat yang sama bertahun lamanya. Supaya ‘perut’ tidak kecewa.

Dan lebih sukar apabila bercuti ke perantauan, terlalu banyak pilihan. Ada yang mahal sehingga mencekik ‘poket’ dan akhirnya menyusutkan ekonomi untuk berbelanja sakan. Jadi kali ini, SAJI telah memilih beberapa lokasi kedai jalanan di Langkawi yang cukup enak dan bajet.

Teratak Laksa Kaw

Jangan keliru dengan gerai yang lain, kerana Laksa Kaw yang terletak berhadapan dengan SK Padang Matsirat merupakan sifu kepada laksa di Langkawi. Rasanya memang mengancam. Fuhhh…berpeluh ketika menghirup titisan kuah terakhir. Tekstur kuah yang cukup lembut dan kaw, memang terbaik. Malah, penduduk di sini juga gemar memesan kueteaw goreng bersama kuah laksa.

Menurut pemilik, Rossabina Mat Saman, gerainya sudah beroperasi sejak 11 tahun lalu dan menjadi pilihan golongan kerabat diraja dan kenamaan. SAJI sempat memohon untuk berkongsi resipi, jadi nantikan di artikel akan datang.

 

Pak Mail Mee Mamak

Terletak di kawasan de Baron Resort Kuah (kawasan Pekan Rabu), Pak Mail Mee Mamak memang benar-benar membuka selera. Hanya beroperasi menggunakan van dan dibantu oleh ahli keluarga, Ismail bin Daud atau lebih dikenali sebagai Pak Mail sebelum ini berniaga menggunakan basikal roda tiga dan motor kapcai.

Kata Pak Mail, dia bermula sejak berusia 23 tahun dan dikenali penduduk asal Langkawi kerana merupakan satu-satunya peniaga yang mengayuh basikal roda tiga menjual mee di sini. Pernah juga dia jatuh tertonggeng sehingga habis bahan makanan berterabur di jalanan. Namun itulah pengalaman hidup.

Sempat juga Pak Mail berpesan kepada SAJI, katanya, apa pun yang dilakukan, biarlah kita berada di jalan yang lurus, Insya-Allah dipermudahkan. Apa yang penting, ilmu akhirat harus diutamakan.

SAJI sempat merasa pasembor yang dihidangkan, nikmatnya tidak terkata. Sedapnya masya-Allah. Pak Mail Mee Mamak memulakan operasi pada jam 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam dan akan ditutup pada setiap Rabu.

 

Be Yellow Café – Pak Tong Ku

Kalau singgah Langkawi, jangan lupa makan Pak Tong Ku dan Moi Sup sebagai kudap-kudapan. Be Yellow Café terletak di Pekan Kuah berhampiran Bella Vista (gerai ini terletak di bahagian belakang jalan). Jangan pesan sepinggan seorang, tak cukup pula nanti.

 

Roti Bakaq Teloq Meleleh

Dalam perjalanan ke Pantai Cenang, SAJI terlihat sebuah kiosk kecil yang cukup tertarik dengan menu ringkas yang ditawarkan, Roti Bakaq Teloq Meleleh. Bolehlah dibuat kudapan di waktu petang sambil mengadap laut yang terbentang luas.

 

Idamanriah Café

Gerainya cukup ringkas dan terletak di berhadapan Plaza Langkawi. Menjadi pilihan warga Langkawi untuk menikmati sarapan pagi kerana keenakan roti canainya. Selain itu, Nasi Ayam Panggang dan Nasi Campur juga cukup memikat selera.

 

Sarapan Pagi

Sengaja mahu ubah selera, jadi SAJI singgah di sebuah van yang menyajikan menu pagi untuk warga Cenang dan terletak berhadapan Baron Hotel. Boleh tahan juga roti canainya, lembut dan enak.

 

 

 

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan