Koh Lipe? Apa tu?

Bukan satu destinasi percutian popular, malah jika ditanya pun, rata-rata tidak tahu di mana Koh Lipe, sebuah pulau kecil yang terletak di Selatan Thailand. Permata tersembunyi ini cukup menarik untuk diterokai. Perjalanan selama 75 minit menaiki feri dari Langkawi menjanjikan satu pemandangan yang cukup indah.

Saji ingin berkongsi cara-cara untuk ke Koh Lipe khas untuk pembaca. Apa yang penting, buku merah wajib bawa.

Cara 1

  • Anda boleh menaiki feri dari Langkawi di Telaga Harbour.
  • Harga tiket pergi balik untuk seorang adalah RM238. Kanak-kanak bawah 3 tahun adalah percuma.
  • Boleh memilih dua waktu untuk menaiki feri – Pagi (9.30am) dan petang (2.30pm). Apa yang penting sampai awal dua jam kerana banyak urusan harus dilakukan. Urusan Imigresen mengambil masa yang lama.

Cara 2

  • Memandu terus ke Pak Bara, Satun melalui Wang Kelian. Apa yang penting, jangan lupa bawa geran asal kereta untuk urusan imigresen Thailand. Harga tiket RM154 pergi balik untuk dewasa.

 

Cadangan SAJI

  • Beli tiket sehala ke Koh Lipe berharga RM124. Dan apabila sampai ke Koh Lipe, beli tiket feri ke Langkawi.  Untuk pengetahuan, harga feri di Koh Lipe jauh lebih murah dan boleh didapati dengan harga serendah RM80 ringgit untuk tiket sehala. Jimat RM48 untuk seorang.
  • Pilih untuk bertolak pada awal pagi kerana menjimatkan masa. Feri akan tiba di Koh Lipe sekitar jam 12.00 tengahari dan keadaan cuaca dan laut ketika ini sangat cantik dan memukau pandangan mata.
  • Jangan lupa bawa bekalan makanan (makanan mahal di Koh Lipe), sunblock dan tukar ke matawang Bhat terlebih dahulu kerana tukaran di Koh Lipe jauh lebih rendah dan merugikan.
  • Memakai sandal adalah cara terbaik kerana feri akan berhenti jauh daripada kawasan pantai dan penumpang akan dipindahkan ke bot panjang untuk ke Koh Lipe (jauh kira-kira 5-10 minit perjalanan). Ini adalah untuk menjaga terumbu karang. Jadi kita akan turun di kawasan air untuk berjalan ke imigresen.

 

MAKANAN

Tidak perlu risau makanan halal kerana terdapat banyak gerai yang menyediakan menu halal, cuma harganya sedikit mahal. Semangkuk tomyam berharga RM25.00. Pankek (ala-ala roti canai) paling murah berharga RM4.00. Minuman sekitar RM5.00.

Cadangan SAJI

  • Bawa bekalan makanan dari Malaysia sebanyak mungkin jika ada kekangan bajet. Namun anda harus cuba hidangan di sini, sedapnya hingga menjilat jari. SAJI cukup teruja dengan Kaeng Som, masih teringat hingga hari ini.
  • Jangan hanya hadkan gerai di sekitar kawasan Walking Street kerana rata-rata di sini mengenakan harga yang agak mahal. Rajinkan kaki anda berjalan hingga ke kawasan perkampungan sewaktu menuju ke Sunset Beach atau Sunrise Beach. Terdapat beberapa gerai muslim yang menawarkan harga jauh lebih murah dan yang penting, sedap.
  • Untuk sarapan, sewaktu ingin melihat matahari terbit di Sunrise Beach, terdapat dua gerai halal yang menyediakan sarapan pagi seperti Phat Thai, Pak Tongku, Nasi Kerabu dan pelbagai jenis kuih muih dengan harga yang cukup berpatutan. (Perjalanan dalam 15 minit daripada Walking Street).

 

HOTEL

Jika hari biasa, SAJI sarankan tidak perlu tempah awal kerana kebanyakan laman web percutian meletakkan harga yang agak tinggi jika dibandingkan dengan laman web resort itu sendiri. Pilih mengikut keselesaan dan aktiviti anda. SAJI memilih untuk tinggal di Pantai Pattaya kerana dekat dengan gerai makan dan Walking Street.

Cadangan SAJI

  • Buka website yang menawarkan hotel pada kadar rendah, lihat senarai bintang dan apa yang ditawarkan. Lihat juga komen yang ditinggalkan mereka yang pernah menginap di situ. Selepas membuat pilihan yang tepat, pergi sendiri ke laman web hotel dan buat tempahan terus di sana. Lebih murah dan ada sesetengah hotel yang menerima bayaran ketika daftar masuk. Jadi, tidak perlu membayar kadar cas kad kredit.
  • Jika mempunyai anak kecil, periksa dahulu polisi hotel kerana ada sesetengah yang tidak menerima tetamu bawah 12 tahun.
  • Kadang kala, jika kita terus ke kaunter daftar masuk, boleh berunding harga dan mendapat penginapan pada harga yang lebih rendah daripada yang ditawarkan. (boleh diamalkan sewaktu low season dan hari biasa)

 

AKTIVITI

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini antaranya snorkeling, menyelam, Island Hoping, mendaki, memancing dan pergi berurut. Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan dengan pelbagai harga.

CADANGAN SAJI

  • Jika anda datang bersama sekumpulan yang ramai, lebih elok jika menyewa sebuah bot untuk snorkeling kerana ianya jauh lebih jimat. Untuk snorkeling, harga yang ditawarkan biasanya sekitar RM60 seorang. Namun menyewa sebuah bot hanya sekitar RM150 beserta kelengkapan snorkeling. Malah anda tidak perlu berkongsi bot dan bebas mengikut masa sendiri. Jangan lupa bawa bekalan makanan.
  • Berurut merupakan aktiviti wajib jika berkunjung ke Thailand. Kadar untuk sejam adalah RM35.
  • Untuk melihat pemandangan matahari terbit, SAJI cadangkan keluar seawal jam 6.00 pagi (waktu Thailand). Cukup menakjubkan ciptaan Allah SWT.
  • Barangan cenderamata di sini agak mahal, namun tidak salah jika membeli untuk dibuat kenangan.
  • Walaupun anjing banyak berkeliaran, namun tidak perlu risau kerana semuanya berkelakuan baik dan tidak menggangu orang.

 

LAIN-LAIN

  • Terdapat sebuah masjid, Masjid Al Marhamah untuk umat Islam menunaikan solat jemaat di sini.
  • Jika sakit, tidak perlu risau kerana terdapat banyak klinik di sekitar Koh Lipe.
  • Jika punya bajet lebih, apa salahnya cuba hidangan laut. Aromanya cukup memikat. Terdapat beberapa restoran di tepi pantai yang menawarkan menu halal. Pilihan di tangan anda.
  • Ada segelintir ibu bapa yang berasa was-was untuk membawa anak kecil menaiki bot untuk snorkeling. Jangan risau, insya-Allah selamat.

Sekadar selingan, pemandangannya cukup memukau mata, namun masih tidak mampu menandingi kehebatan snorkeling di Pulau Redang. Hidupan dan terumbu karang yang berwarna warni dan cukup meriah. Siapa setuju?