RESET HIDUP DI LAMAN PADI

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Jauh daripada hiruk pikuk kota, sesungguhnya pengalaman di Laman Padi, Langkawi cukup mengasyikkan. Jujur dikatakan, tiada apa yang boleh dilakukan di sini selain menikmati hidangan lazat dan keindahan sawah padi. Kicauan burung, angin menyapa lembut dan kedamaian suasana menjadi tempat ini cukup ‘mewah’.

Duduk bersimpuh di dangau (pondok) sambil dikelilingi kehijauan sawah padi seluas 70.2 hektar, satu perasaan yang cukup sukar diungkap. Kadang kala terfikir, mengapa kita semakin rakus mengejar kemodenan sedangkan kedamaian adalah satu hakiki yang cukup menawan. Entah apa yang dikejarkan! Hembusan angin yang memukul padi membuatkan fikiran semakin melayang.

Ketenangan membuatkan perut mula berkeroncong. SAJI terus menekan butang ‘RESET’ dan mulakan nafas pertama hari itu dengan satu semangat baru. Hari baru dan semangat baru dimulakan dengan sajian Nasi Kukus Istimewa Laman Padi.

Hidangan ala Di-Raja ini menyajikan Ikan Siakap dan Ayam Goreng yang disalut beras, Kari Betis Kambing, Daging Masak Hitam dan Sambal Picit beserta Nasi beraroma.  Menurut Chef Mohd Ishak Othman, menu ini diketengahkan kerana sajian Melayu semakin hilang ditelan zaman. Dan Laman Padi cuba mengimbau kembali nostalgia dengan menterjemahkan konsep melalui suasana dan hidangannya.

Segalanya teradun dengan cukup sempurna. SAJI ‘hilang’ sebentar daripada realiti dan mahu terus lari daripada realiti yang terus menekan kehidupan.

Nasi beraroma mampu berdiri sendiri tanpa bantuan ‘pelakon utama’. Keenakan nasi terasa cukup segar dan asli. Untuk menambah keenakan, tambah sedikit dengan sambal picit. Kata Chef Ishak, sambal picit mendapat nama kerana cili dan bawang dipicit menggunakan tangan bagi mendapat rasa yang lebih sedap.

Namun jangan sesekali memandang rendah kepada kemampuan 4 hero yang tersusun cantik di dalam dulang. Kesemuanya memberikan satu elemen rasa yang cukup berbeza dan unik. SAJI beri 5 bintang untuk sajian hebat ini.

FOTO : ROHAIDA ZULKIFLI

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan