5 Aktiviti Wajib Di Langkawi

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Ada segelintir individu yang suka berbelanja di butik mewah atau iPhone 6 untuk kepuasan diri atau sebagai ukuran standard. Namun lain orang lain caranya. Bagi SAJI, kepuasan menikmati keindahan alam adalah sesuatu yang kekal dalam kotak ingatan yang tidak mungkin dapat dijual beli.

Jangan sesekali menilai keindahan alam dengan nilai ringgit. Sesekali bercuti, apa salahnya berbelanja lebih untuk kepuasan diri. Biarpun tiada nilai material, namun memori itu kekal hingga penghujung nyawa.

Jadi pada trip Langkawi kali ini, jom kita lihat apa aktiviti menarik yang boleh dilakukan.

Helikopter

Apa salahnya menerjah bumi Mahsuri daripada awan biru. Sesungguhnya ciptaan tuhan sangat berbeza apabila dinikmati daripada atas. Dibawa menaiki helikopter oleh Langkawioutpost memberi satu anjakan baru dalam dimensi kehidupan. SAJI  dibawa menjelajah ke Tasik Dayang Bunting menerusi Pantai Tengah, Pulau Singa Besar dan Pantai Cenang selama 20 minit. (Pakej berharga RM1575)

Wow, kami benar-benar terpukau dek keindahan di depan mata. Menurut pemilik, Faiz Fahmi Sazali, waktu petang sekitar jam 6.30 adalah waktu terbaik kerana matahari akan terbenam dan terpancarlah syurga dunia. Namun, pelanggan dinasihatkan untuk menempah terlebih awal untuk mengelakkan kekecewaan.

Untuk pembaca SAJI, Langkawioutpost bermurah hati memberikan pakej promosi pada harga serendah RM150 seorang pada musim cuti sekolah ini. Helikopter boleh memuatkan maksimum 3 penumpang sahaja pada satu masa.

Alamat Langkawioutpost

Helipad Center, Jalan Pantai Cenang, Kg Paya Mempelam, MK Kedawang 07000 Langkawi, Kedah

Hotline 24 jam – 019 4430 477

Parasailing

Mahu melihat Langkawi daripada atas tanpa sebarang halangan? Jom cuba Parasailing pula. Ibarat burung terbang bebas di angkasa. Dengan harga serendah RM50, anda mampu menjadi ‘superman’ untuk 10 minit. Namun SAJI nasihatkan agar terbang bersama instruktor terlatih untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. SAJI memilih untuk terbang bersama 4 Pirates kerana harga paling menarik yang ditawarkan. 4 Pirates terletak berhadapan pantai Cenang dan di seberang Chenang Mall. Kalau berminat untuk bermain jetski, harganya cuma RM100 untuk 30 minit.

Winter Sonata

Amboi, sesekali nak juga berangan ke Korea. Kawan-kawan mesti tertipu melihat gambar yang dimuatnaik ke laman Facebook. Jadi, jika anda ke Langkawi, jangan lupa singgah ke Taman Lagenda. Terletak hanya 400 meter dari Pekan Kuah, Taman Lagenda dibina untuk menceritakan sejarah Langkawi. Terdapat empat buah tasik buatan dan 17 monumen menarik.

Namun yang menjadi kegemaran SAJI adalah bergambar di laluan susunan pokok , seolah-olah berada di luar negara.

Pasar Malam Pekan Kuah

Jika ke Langkawi, tidak sah kalau tidak menjejakkan kaki ke Pasar Malam Pekan Kuah. Meleleh air liur melihat deretan hidangan yang cukup membuka selera. Apa yang lebih menarik, peniaga masih mengekalkan harga zaman ‘tok nenek’. 3 keping kuih hanya RM1.00.

Makan Di Sawah

Asyik melihat bangunan tinggi di Kuala Lumpur, jadi bila ke Langkawi, SAJI ambil kesempatan untuk santai petang di Laman Padi. Indahnya duduk bersimpuh di pondok kayu sambil dibuai angin sepoi-sepoi bahasa. SAJI sarankan pembaca untuk melawat Muzium Laman Padi sebentar, kemudian tenangkan diri di pondok kecil yang disediakan di tengah-tengah bendang. Laman Padi juga menyediakan aktiviti seperti menangkap ikan, menanam padi dan membajak sawah.

Desiran padi yang membuai lembut sambil angin menyapa wajah, segalanya cukup indah. Tenang. Lupakan sebentar telefon, Facebook dan segala kesibukan. Nikmati anugerah yang terbentang.

 

 

 

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan