SINGGANG WARISAN – MASAKAN DARI HATI

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Hidangan asli Terengganu ini cukup memikat selera. Keenakannya cukup menjerut rasa. Terpejam mata kenikmatan saat menghirup Singgang Sotong, sedap tak terkata. Mungkin menu ditawarkan cukup mudah, namun percayalah, segala hidangan ini disediakan penuh Istiqamah. Menurut pemilik pasangan suami isteri, Mohammad Tareq dan Aizatul Nadia binti A.Aziz, mereka cukup cerewet memilih bahan mentah dalam proses penyediaan. Bahan terbaik akan membuahkan magis dalam masakan.

Kata pasangan ini, mereka mahu setiap hidangan seperti yang dihidangkan di rumah, bermakna tiada satu pun bahan dikurangkan dalam proses memasak. Bukan tidak mementingkan keuntungan, namun kepuasan pelanggan dan kualiti perkhidmatan adalah matlamat utama dalam berniaga.

Ulas Nadia selaku Chef di sini, segala resipi adalah warisan turun temurun 40 tahun daripada bondanya. Malah rempah ratus yang digunakan adalah 100 peratus hasil air tangannya sendiri. Cerewet namun tidak boleh ‘cincai’ dalam masakan.

Kata Tareq, menu yang ditawarkan juga terhad demi memudahkan pelanggan untuk memilih. Apa yang menarik, hidangan di restoran ini masih mengekalkan harga yang rendah bermula dari RM5.90 semata-mata untuk memberi keselesaan untuk berbelanja. Baguskan?

Bagi warga Terengganu yang menetap di Lembah Klang yang rindukan masakan Pantai Timur, Singgang Warisan adalah pilihan terbaik. Anda boleh menikmati Bubur Lambuk dan Rojak Betik ‘pure’ Terengganu. Perut dah mula berkeroncong?

Jom kita lihat apa yang menarik di Singgang Warisan.

Nasi Dagang Ikan Tongkol (RM8.50)

Sedap tak terkata. Segalanya diadun dengan cukup sempurna, rasa pedas dan manis bergabung memberikan satu letupan rasa yang cukup enak. Kelembutan nasi dagangnya, fuhhh, terbaik. SAJI bagi 5 bintang. Jangan lupa serikan dengan cili padi dalam setiap suapan, confirm tak pandang kiri kanan.

Nasi Minyak Ayam Masak Merah (RM7.90)

Jangan fikir ini Nasi Minyak seperti di kenduri kahwin. Keenakkannya sudah cukup berbeza dan menjadikan hidangan ini sangat istimewa. Apalagi diselitkan bersama sambal belacan. Antara hidangan popular yang wajib dicuba jika berkunjung ke sini.

Laksam (RM7.50)

Laksam resipi asal Terengganu. Memang terbaik.

Set Singgang Ikan Kembong (RM13.50) + Air Percuma

Set ini didatangkan bersama ulam, budu, nasi dan air percuma. Sebelum makan, jangan lupa gaulkan budu bersama perahan limau nipis dan picitkan cili padi bersama. Selepas itu, memang tak nampak apa-apa. Dunia ini hanya ada Singgang Ikan dan kita sahaja…hahaha

Set Singgang Sotong (RM13.50) + Air Percuma

Sedapnya kuah singgang sotong, habis separuh SAJI hirup dek keenakan melampau. Antara set popular di sini. Wajib order tau. Ingat pesan SAJI.

FOTO : NORAZLINA OTHMAN

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan