SEDAPNYA AIR TANGAN MAMI LILY

Air tangan ibu umpama syurga dunia. Sekali makan, memang gila bayang. Kesedapannya boleh bikin mengigau tengah malam.

Masakan dari hati, terasa keikhlasan di setiap suapan. Dan tidak perlu deretan lauk memenuhi warung, cukup hanya beberapa hidangan, Warung Mami Lily punya sengatan berbisa. Apa tidaknya sehingga ke hari ini, detik menulis ini, masih terasa KELAZATAN, KEHEBATAN, KESEDAPAN lauk yang dimasak terutamanya sambal gesek. Fuhhh, memang berpeluh makan.

Setiap hari, Mami Lily akan menukar hidangan utama antaranya Gulai Masak Lemak Jan Gek, Asam Pedas Ikan, Kari Mamak dan Ayam Dara Goreng Berempah. Dan senjata utamanya, sudah tentu, sambal gesek. Hanya menggunakan cili burung terbaik, kepedasan yang sampai ke lidah, begitu mempersona. Kelazatannya tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

Dan untuk sarapan, Nasi Lemak Hijau merupakan kegemaran pelanggan. Dan merasai nasi lemak yang diadun dengan daun pandan dan santan ini, cukup enak. Teringat hidangan ibu di rumah. Tiada apa yang kurang. Segalanya sempurna.

Lebih menarik, jangan lupa memesan Air Janda Pulang. Kalau ingin tahu bagaimana rasa dan rupanya, cepat-cepat serbu Warung Mami Lily yang terletak di Taman Melawati berhadapan stesen Caltex.

10 bintang untuk Warung Mami Lily.

Majalah SAJI akan berkongsi resipi hebat Mami Lily, jadi jangan lupa dapatkan segera di pasaran.