Kedai Paling Tak Masuk Akal Di Bangi

Abang ni tak nak naik Haji ke? Tak masuk akal betul harga dia. Macam tak nak untung je! Dahlah portion banyak, harga macam tak logik. Isk…isk…isk

Melihat daripada luar, tiada apa yang menarik. Hanya sekadar gerai biasa dan tidak Hipster. Namun seperti kebiasaan, gerai baru buka, hati terasa mahu mencuba. Apatah lagi melihat menu Itik Salai yang terpampang besar di papan tanda.

Ada 4 menu je? Jangan terlalu skeptikal. Datang dan rasa dahulu, selepas itu baru komen.

Gerai ini hanya menghidangkan Itik, Ikan Keli, Daging dan Ayam yang disalai dan kemudian dimasak Masak Lemak Cili Padi. Apa yang menarik, bila ada pesanan, baru hidangan akan dimasak di dalam periuk. Jadi apa yang terhidang di depan mata, segar dari ladang. Dan lebih unik, ulam-ulaman dan bahan masakan dipetik daripada tanaman di sekitar gerai. Menu dihidangkan bersama nasi putih, sambal belacan, ulam dan air.

Menurut pemilik, Masthar bin Takril, itik merupakan menu paling popular dan selalunya ada pelanggan yang hanya mahu menikmati itik salai semata-mata. Itik cicah kuah asam…perghhh sedapnya.

Harganya memang tidak masuk akal. Terlalu murah dengan saiz hidangan yang mewah.

Dan lebih mengejutkan, rasanya cukup enak. Rasa salai yang meresap bersama Gulai Masak Lemak Cili Padi cukup mencengkam rasa. Ditambah pula dengan kombo sambal belacan dan ulam-ulaman. Citarasa kampung yang cukup sempurna.

Lokasi :Medan Selera Adikku, Kampung Sungai Ramal Dalam, 43000 Bangi, Selangor