Baru setahun jagung dalam industri, namun penangannya cukup menggemparkan. Memulakan operasi pada April 2017, namun siapa sangka, Hai Nier mampu memberi saingan hebat dengan menyajikan hidangan mi tarik yang berjaya menyentuh sanubari dek keenakan dan kelembutannya.

Hidangan yang cukup ringkas namun penuh signifikan. Tidak perlu ayat bombastik untuk menggambarkan kelazatannya, cukuplah agar pembaca memahami, sesuap mi ini berkelas dunia.  Sempurna dengan adunan rasa.

Menurut pemilik, Salwa Baboo, Hai Nier memilih pakar terbaik yang diterbangkan khas dari Qinghai China untuk menterjemahkan erti kelazatan dalam hidangan. Ulasnya, menu setiap daerah di China adalah berbeza dan keunikan itulah yang cuba ditonjolkan. Bukan sekadar mi tarik, Hai Nier turut menghidangkan menu ala carte yang pastinya cukup menepati citarasa masyarakat Malaysia.

Lihat sahaja kepada Boil Okra, hidangan yang tampak malas dan ringkas. Namun definisi kelazatannya, tak terjangkau dek akal.

Benarlah kata orang, jangan menilai hanya daripada luaran. Biarpun rekaannya cukup eksklusif, namun harga yang ditawarkan cukup berbaloi. Satu mangkuk mi tarik daging hanyalah RM7.00, dan untuk tambahan mi adalah percuma.

Sambil menikmati hidangan, mata juga disajikan dengan keindahan artifak daripada China. Malah, susunan lima kubah yang terpasak kukuh merupakan terjemahan kepada lima rukun Islam. Cukup menarik. Kata Salwa, setiap meja juga diletakkan petikan ayat-ayat Al-Quran sebagai bahan bacaan. Menariknya, ramai pengunjung bukan beragama Islam terpikat dan mahu mengetahui asal ayat-ayat yang cukup indah itu.

Alamat : Hainier Restaurant, 142-G Jalan Radin Anum, Bandar Baru Seri Petaling 57000 Kuala Lumpur

0390554433

Facebook : Hainier Story