RESIPI PUDING RAJA

Petang-petang begini memang layan habis kalau dapat makan Puding Raja. Cara membuatkan mungkin agak renyah, namun kepuasan menikmati hidangan ini memang terbaik. Kalau beli di kedai, harganya agak mahal dan kuantiti pula sedikit. Jadi apa kata kita ringankan tulang dan cuba resipi ini.

Bahan utama yang harus ada ialah Jala Emas dan Pisang Lemak Manis.

 

Cara Membuat Jala Emas           

Bahan-bahan

7 biji telur itik (gunakan telur itik kerana kuningnya lebih banyak)

200 gram gula halus

3 helai daun pandan

2 cawan air

Acuan roti jala / corong daun pisang.

 

Cara-cara

Pukul kuning telur sehingga kembang. Kemudian tapis bagi memastikan adunan bersih.

Masak gula bersama air di dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan daun pandan. Biarkan mendidih dan pekat. Selepas itu buang daun pandan. Masak dengan api kecil.

Apabila air mendidih dan berbuih halus, uraikan keliling periuk kuning telur dengan acuan roti jala atau corong daun pisang ke dalam air gula.

Angkat dan toskan.

Kiraikan jala emas dengan menggunakan chopstick atau batang sate.

Boleh siramkan dengan air putih untuk mengurangkan rasa manis, namun jala emas tidak dapat bertahan lebih daripada empat hari.

 

Bahan-bahan

4 sikat pisang lemak manis

1 genggam biji gajus – goreng terlebih dahulu

5 keping jala emas

5 biji buah prun

Sedikit buah ceri

2 sudu besar minyak sapi

Minyak untuk menggoreng

 

Bahan Untuk Kuah Puding

1 tin susu cair

3 biji kuning telur

½ tin air

1-2 cawan gula (ikut citarasa)

3 helai daun pandan

1 sudu kecil esen vanilla

 

Cara-cara

Panaskan minyak dan minyak sapi.

Goreng pisang sehingga kekuningan dan toskan minyak. (Jika boleh goreng dalam minyak yang penuh, lebih sedap).

Kemudian goreng biji gajus dan ketepikan.

Cara Membuat Kuah Puding

Pukul kuning telur bersama susu cair dan air. Kemudian tapis.

Kemudian masukkan gula sedikit demi sedikit dan rasa kemanisannya. Jangan terlalu manis. Kacau sehingga sebati.

Masak di atas api kecil bersama daun pandan sehingga sederhana pekat.

Selepas itu masukkan esen vanilla untuk menghilangkan bau hanyir telur.

Kacau selalu agar tidak bergumpal.

 

Cara menghidang

Letakkan pisang goreng di dasar acuan. Kemudian letakkan jala emas.

Taburkan buah prun, ceri dan biji gajus.

Dan tuangkan kuah untuk dimakan.