Skip to Content

Friday, July 21st, 2017
RAJANYA SAMBAL, JAGONYA GURAME, TOPNYA AYAM GORENG.

RAJANYA SAMBAL, JAGONYA GURAME, TOPNYA AYAM GORENG.

Saji Online

PERCUMA…PERCUMA…PERCUMA. Siapa percaya ada restoran yang masih mampu memberi anda hidangan percuma? Segala yang dihidangkan di pondok kecil ini percuma! Ambil sebanyak mana yang anda mahu, namun janganlah sehingga membazir. Dan lebih menarik, setiap hidangan utama, didatangkan air teh secara percuma.

Dan tidak perlu menunggu promosi Air Asia untuk merasai makanan Sunda di Indonesia. Rumah Makan Cibiuk (RMC) menghidangkan masakan original Sunda khas untuk anda. Tukang masak dan pekerja diterbangkan khas dari Sunda bagi anda merasai sendiri pengalaman unik ini. Menurut pemilik,Jamaluddin Omar, hanya penduduk asal Cibiuk yang mahir membuat sambal dan disebabkan itu, mereka mengambil keputusan memilih hanya yang terbaik dari Cibiuk untuk dibawa ke sini.

Pondok kecil yang tersedia menempatkan pelbagai jenis sambal mengikut tujuh tahap kepedasan dan yang pastinya, ia percuma. Antara menu popular yang sering menjadi pilihan adalah Nasi Timbel Komplit Ayam Bakar, Pisang Keju, Jus Alpukat, Es Durian dan Talapia Bumbu Pedas.

Pengalaman menikmati hidangan di RMC sememangnya memberikan suasana yang cukup tenang. Anda akan disambut dengan alunan muzik Sunda diiringi bunyi air yang mengalir. Sapaan ‘wilujeng sumping’ yang bermaksud ‘selamat datang’ membuatkan diri melayang sebentar ke Cibiuk. Cukup mengasyikkan.

Hidangannya cukup sempurna dan menepati selera. Apa yang menarik, kepelbagaian jenis sambal dan ulam yang dihidangkan. Malah, RMC hanya menggunakan ayam kampung dalam masakan dengan harga yang berpatutan. Tidak dilupakan juga, Pisang Keju yang menjadi hidangan wajib bagi setiap yang berkunjung.

Beroperasi pada Oktober 2012, RMC bakal mengembangkan lagi sayap dengan membuka dua lagi cawangan di Wangsa Maju dan MITC, Melaka. Jadi warga Lembah Klang dan Melaka, apa lagi, jom serbu.

Previous
Next