Pernah makan belangkas? Apa rasanya? Belangkas masak asam pedas kering, gulai atau dibakar antara yang paling popular dan sangat sedap. Harga seekor belangkas boleh mencecah sehingga RM30 seekor. Pernah saya bertemu seorang pengusaha makanan laut yang hanya mahu dikenali sebagai Tony berketurunan Portugis di Melaka. Dia seorang nelayan dan menjual hasil tangkapan laut di Medan Selera Portugis. Belangkas antara hidupan laut yang dikomersialkan. Kebiasaannya, Tony akan mencari belangkas sampai ke Pulau Undan, Pulau Upeh, Pulau Serimun, Pulau Panjang dan Pulau Bintang. Menurut Tony, tidak semua orang makan belangkas akan merasa pening. Apakah punca rasa pening bila makan belangkas?
KREDIT FOTO : SAIFUL AZMI JAMSARI
KETAHUI 10 PERKARA TENTANG BELANGKAS.
- Belangkas satu-satunya haiwan fosil yang masih hidup, sejak berabad lamanya sehingga ke hari ini.
- Terdapat empat jenis belangkas yang masih wujud, antaranya carcinoscorpus rotundicauda (kawasan paya), tachypleus gigas, tachypleus tridetotus (kawasan pinggir pantai) dan limulus polyphemus.
- Apabila belangkas menghampiri dasar pantai, ia akan mengeluarkan buih-buih.
- Kebiasaannya belangkas betina paling digemari kerana telurnya.
- Rahsia makan belangkas tak pening, iaitu cara pembersihannya. Untuk membersihkan belangkas, perutnya perlu dibuang terlebih dahulu kerana ia mengandungi toksin. Jika tidak dibersihkan dengan sempurna, kalau termakan akan rasa mabuk atau pening.
- Untuk menghilangkan rasa pening, caranya dengan meminum air kelapa. Itulah penawarnya.
- Telur belangkas berwarna kekuningan, rasa lemak dan kenyal lebih banyak, berbanding isi belangkas yang bewarna putih seperti ketam.
- Darah belangkas berwarna biru mengandungi bahan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin.
- Belangkas boleh hidup seminggu tanpa cahaya matahari. Musim belangkas dua kali sebulan, ia akan mendarat di tepi pantai atau laut cetek dan ia tidak menggigit. Belangkas hanya akan mendarat di perairan yang bersih.
- Pusat Penternakan dan Penetasan Belangkas yang terletak di Sedili Kecil, satu-satunya galeri belangkas yang terbesar di rantau Asia yang dibuka kepada orang ramai dan pelancong asing.