PESAN APA SAHAJA, HANYA RM2.50

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Sewaktu makan angin ke Chowrasta Pulau Pinang, Saji cukup tertarik melihat sebuah gerai kecil di tepi jalan. Kelibat seorang atuk tua, tubuh membongkok waktu berjalan, namun masih gagah memasak untuk pelanggan. Dan lebih membanggakan, lebih 30 tahun, harganya masih kekal sama. Hanya RM2.50 untuk apa sahaja menu yang tersedia.

Beberapa pelanggan di hadapan Saji, memesan berbelas mee goreng untuk di’tapau’ untuk rakan sekerja. Nampaknya, petanda yang cukup baik.

Saji hanya memesan kueteaw goreng sekadar untuk merasa air tangan orang lama. Terasa hati cukup sayu melihat susuk tubuh tua ini bertungkus lumus berseorangan menguruskan gerai mencari rezeki.

Sempat juga Saji melihat beberapa kepingan akhbar yang ditampal dihadapan gerai yang memuatkan kisah hebat si tua ini. Si empunya badan, Abdul Karim Pakir terlalu cintakan kerjayanya sehingga tidak mahu berhenti walaupun usia telah lanjut.

Terus hati mengimbau kembali zaman kanak-kanak. Memori kueteaw goreng yang dimakan bersama ayah di kedai mamak cukup menggamit kenangan. Dan hidangan yang serupa kini di depan mata. Menggiurkan dan cukup lazat. Menyesal pula order satu…hahaha

Sementara tubuh tua ini masih gagah memegang kuali, segeralah ke Chowrasta dan rasalah sendiri air tangan istimewa Pak Karim. Lokasinya berhadapan dengan gerai jeruk di tepi jalan. Pesan apa sahaja, Mee Jawa, Nasi Goreng, Meehun Sup atau apa sahaja yang terdaya oleh kudratnya, Cuma RM2.50 untuk satu pinggan. Beri lebih pun apa salahnya.

 

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan