NASI KANDAR TERBAIK PENANG – ORANG PENANG JE TAU!!!

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Setelah buat survey sana sini, akhirnya SAJI buat keputusan untuk cuba beberapa senarai Nasi Kandar yang sangat popular di kalangan penduduk tempatan Pulau Pinang. Agak ragu-ragu pada mulanya kerana ada sesetengahnya memang sangat jarang disebut jika ada yang makan angin di Pulau Mutiara ini. Dan SAJI senaraikan 3 pilihan utama.

NASI KANDAR DEEN, JELUTONG

WOW, SAJI mesti beri 10 bintang untuk NASI KANDAR DEEN di Jelutong. Melihatkan keadaan restoran yang terletak di tepi jalan di lot rumah kedai, kelihatan tiada apa yang istimewa. SAJI memilih Ayam Masak Hitam Berempah, Telur Mata dan kuah campur. (Meleleh air liur ketika menaip). Dan harganya cuma RM5.50 sahaja.

Baru sahaja mengambil tempat, tiba-tiba pelanggan datang umpama tsunami. SAJI bernasib baik tidak perlu beratur dan menunggu lama.

Terbeliak biji mata dan segala deria rasa saat suapan pertama singgah di mulut. Ya Allah sedapnya. Enak tak terkata. Kepekatan rempah Ayam Masak Hitam diadunkan dengan rasa pedas yang cukup nipis dan kehebatan kuah campur cukup membuka mata. Benarlah seperti yang dikata. Nasi Kandar Deen antara yang terbaik di Pulau Pinang.

Ayam Masak Hitam ini sepatutnya menjadi penanda aras bagi setiap gerai Nasi Kandar seluruh Malaysia (hahaha). Inilah sepatutnya rasa sebenar Nasi Kandar yang seakan-akan telah pupus terutama di Kuala Lumpur.

Dan selama beberapa hari di Pulau Pinang, inilah kedai yang menjadi santapan SAJI setiap hari. Dan beberapa ketul Ayam Masak Hitam Berempah telah selamat dibawa pulang ke Kuala Lumpur buat pengubat rindu. Wajib singgah jika ke Penang, lupakan yang lain…hehehe

 

NASI KANDAR KAMPUNG MELAYU

Kata orang tempatan, kalau ke Flat Kampung Melayu, kena pergi sebelum jam 11.00 pagi. Mana tidaknya, pelanggan telah berbaris di luar kedai sejak jam 5.00 pagi untuk menikmati sarapan nasi kandar.

Saat SAJI tiba jam 10.00 pagi, kelihatan masih ada yang berbaris. Jadi sementara menunggu giliran, SAJI lihatkan sahaja gelagat pelanggan yang datang untuk makan. Rata-rata mengambil Ayam Kari bersama kuah campur. Jadi, mungkin itu senjata utama. SAJI ikutkan sahaja apa yang dipesan pelanggan setia lain kerana mereka lebih arif.

SAJI memesan dua nasi bersama Ayam Kari dan Ayam Masak Hitam bersama kuah campur dan bendi. Harga untuk kedua-dua bungkusan ini hanya RM9.50 sahaja. Murahnya makanan di Penang. Senang hati bercuti di sini. Tidak perlu risaukan kos yang tinggi.

Keenakannya memang tidak terbatas. Gabungan kuah campurnya memang melutup. Dan sudah terbukti Ayam Kari memang ‘champion’ di sini.

Jangan risau jika tidak sempat berkunjung sebelum jam 11.00 pagi kerana menurut pemilik, mereka akan beroperasi semula pada jam 6.00 petang sehingga larut malam.

 

NASI KANDAR IMIGRESEN, LORONG PASAR

Gerai tepi jalan ini dicadangkan seorang sahabat yang bekerja di Seven Terraces. Katanya, Nasi Kandar Imigresen antara yang menjadi tumpuan di sekitar Georgetown. Dan harganya cukup murah.

Hey, memang terbukti murah dan sangat berbaloi. Hidangan untuk empat orang termasuk lauk Ayam Kari, Daging Masak Hitam, Telur Rebus, Sayur-sayuran, Kari Ikan dan Ayam Goreng hanyalah RM23.00 sahaja.

Bila sudah murah, sudah pastilah segalanya terasa sangat indah dan sedap di mulut…hehehe

Dibuka dari jam 10.30 pagi sehingga 9.30 malam dan tutup setiap hari Jumaat.

Dan kesimpulannya, makanan di sini cukup kena dengan tekak SAJI. Sempurna dengan adunan pelbagai perasa dan apa yang penting, kepedasannya serasi di tekak.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan