NASI TUMPENG YANG UNIK

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn
Tumpeng Kuning

Oleh: Noor Joha Ahmad

Nasi tumpeng yang tidak asing di kalangan masyarakat Indonesia merupakan nasi semangat berwarna kuning berbentuk kon. Ia disajikan dengan pelbagai lauk dan biasanya nasinya dikukus.

Nasi tumpeng disajikan di majlis-majlis tertentu, seperti kerai, doa selamat, pernikahan, pertunangan, dan doa selamat.

Bentuk kon diideakan hasil bentuk muka bumi tanah Jawa yang banyak gunung berapi yang masih aktif, manakala lauk-pauknya merupakan `sesajian’ yang dipersembahkan sebagai tanda syukur atas sebab-sebab tertentu. Ia biasanya dipersembahkan kepada orang yang lebih tua, ketua kampung, ataupun orang yang diraikan dan kemudian ia dimakan bersama sebagai tanda kebersamaan.

Namun, sekarang ini fungsi nasi tumpeng dipelbagaikan, dan ia disajikan untuk apa sahaja acara rasmi.
Lauk yang disediakan seperti, urap sayuran, ayam goreng, ayam bakar, empal gepuk (dendeng daging), serunding, semur daging, sambal bilis dan kacang, udang goreng, telur pindang, tempe, begedel, sambal goreng hati, dan hiris telur dadar.

Porsi hidangan lauk biasanya akan seimbang antara hidangan bersayur dan berdaging. Lauk tambahan juga boleh disajikan, seperti sate, gado-gado dan rendang.

Berdasarkan falsafah di sebalik nasi tumpeng, lauk-pauk membawa maksud keharmonian dalam kehidupan, nasi tumpeng itu bermakna keagungan Tuhan sang pencipta.

Terdapat pelbagai jenis tumpeng, yang pertama tumpeng robyong, ia disajikan di majlis `siraman’ pengantin Jawa. Tumpeng jenis ini dimasukkan dalam bakul buluh dan disajikan dengan telur, belacan, bawang dan cili merah.

Tumpeng nujuh bulan, tumpeng yang disajikan untuk wanita yang hamil bulan ketujuh. Nasinya Cuma nasi putih biasa, dan di sekelilingnya dibuat tumpeng kecil yang diletakkan di atas dulang yang diperbuat daripada buluh.
Manakala tumpeng pungkur, tumpeng yang disajikan buat si mati yang masih teruna atau dara. Tumpeng ini disajikan hanya dengan lauk bersayur sahaja.

Tumpeng putih, tumpeng yang disajikan untuk majlis keramat dan ia membawa maksud kesucian dalam budaya Jawa.

Tumpeng Kuning

Tumpeng nasi kuning adalah tumpeng yang paling popular dan ia disajikan sempena Hari Raya, upacara perasmian, kelahiran, ulang tahun, pernikahan, dan sebagainya.

Tumpeng nasi uduk, nasinya dimasak dan dikukus bersama santan. Ia biasanya disajikan pada majlis Maulud Nabi.

FOTO : SUMBER GOOGLE

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan