Tidak dinafikan, pemakanan adalah faktor penting bagi memastikan kesihatan badan kita terjamin. Apa kata sekali sekala mencuba menu makanan yang tidak dimasak ini bagi mendapatkan manfaat optimum untuk kesihatan.
Meskipun jenis pemakanan makanan mentah (raw foodism atau rawism) tidak begitu popular lagi di negara kita terutama untuk orang Melayu, tetapi pendekatan yang dibawa oleh The Honest Treat sangat menarik. Menyediakan pelbagai diet makanan mentah sedikit sebanyak sudah boleh diterima oleh masyarakat walaupun pada awalnya ia kelihatan asing.
Menurut pengasasnya, Fatin Khalid, idea ini diambil ketika berkelana di bumi Australia selama tiga tahun. Dari situ dia belajar bagaimana menghasilkan makanan yang sihat dengan menggunakan bahan organik sebagai pola diet seharian. Usaha yang dibawanya harus dipuji meskipun pada awalnya kelihatan pelik. Tetapi, sekali cuba..hurm mengancam juga. Yang penting, sihat dan sedap. Selamat mencuba!
MOCHA KRANBERI WALNUT GRANOLA
BAHAN
300 gm oat
60 gm kacang walnut
30 gm biji labu
20 gm  beras rangup
8 gm biji cia
45 gm gula kelapa
5 gm serbuk kopi
25 ml minyak kelapa dara
75 ml madu atau sirup maple
25 ml susu badam
20 gm cip coklat
30gm kranberi kering
CARA
- Panaskan oven pada suhu 150°C. Di dalam mangkuk besar, campurkan oat, kacang walnut, biji cia, beras rangup, dan gula kelapa. Gaul sebati. Ketepikan.
- Dalam mangkuk lain, campurkan minyak kelapa dara, madu atau sirap maple, susu badam dan serbuk kopi. Gaul sebati.
- Tuangkan ke dalam bahan oat tadi dan gaul sebati.
- Alaskan dulang pembakar dengan kertas minyak. Masukkan kesemua bahan-bahan yang dicampur itu ke dalam dulang pembakar.
- Masukkan ke dalam ketuhar dan bakar selama 30 minit.
- Keluarkan granola, taburkan cip coklat dan kranberi Siap untuk dimakan.
RAW COKLAT TRUFFLES & KURMA COKLAT
BAHAN COKLAT TRUFFLES
600 gm kurma
20 gm kacang badam
30 gm serbuk koko
2 ml garam Himalaya
BAHAN KURMA COKLAT
50 biji kurma
50 biji kacang badam
Satu bar dark coklat
CARA
- COKLAT TRUFFLES : Masukkan kurma yang telah dibuang biji ke dalam mangkuk. Ketepikan.
- Dalam mangkuk lain, campurkan serbuk koko dan garam. Ketepikan.
- Kisar separuh daripada kurma itu bersama kacang badam. Tambahkan juga serbuk koko dan garam. Kisar sehingga menjadi doh. Simpan ke dalam peti sejuk selama 20 minit.
- Gentelkan doh menjadi bebola deng an berat 20 gm setiap satu.
- Separuh daripadanya salutkan kacang pistachio yang telah dikisar dan separuh lagi salutkan dengan serbuk koko.
- KURMA COKLAT : Buang ke semua biji kurma itu dan isikan dengan kacang badam.
- Cairkan dark coklat dengan kaedah ‘double boiler’.
- Celupkan kurma ke dalam adunan coklat dan simpan di dalam peti sejuk selama 20 minit. Sedia dimakan bersama coklat truffle.
RASPBERI RAW COKLAT POP
BAHAN
60 gm kacang gajus – rendam semalaman
37 ml minyak kelapa dara
45 ml susu badam
50 gm raspberi beku
40 gm pisang beku
40 gm gula tebu asli
32 gm mentega koko – cairkan
BAHAN SALUTAN
125 gm mentega koko – cairkan
65 gm serbuk koko
50 gm gula tebu asli – kisar halus
CARA
- Kisar kacang gajus bersama minyak kelapa dara dan susu badam dalam pengisar berkelajuan tinggi selama 40 saat.
- Kemudian masukkan raspberi, pisang dan gula tebu asli ke dalam adunan dan kisar selama 30 saat atau sehingga semua bahan sebati dan hancur lumat.
- Tambahkan mentega koko cair ke dalam adunan.
- Akhir sekali, tuangkan adunan ke dalam acuan ais krim dan sejukkan selama 4 hingga 6 jam.
- SALUTAN : Cairkan mentega koko di dalam mangkuk adunan dengan menggunakan kaedah double boiler.
- Setelah siap, gaul rata mentega koko bersama serbuk koko. Kemudian masukkan gula tebu asli dan kacau sebati.
- Tuangkan campuran tadi ke dalam pengisar dan kisar selama 5 saat. Pastikan adunan coklat kelihatan licin dan berkilat sebelum dipanaskan seketika.
- Setelah siap, ketepikan selama 5 minit agar adunan menjadi pekat sebelum aiskrim dicelup ke dalamnya. Selamat mencuba!
BERRY BANANA RAW KEK
BAHAN LAPISAN PERTAMA
2 biji kurma –Â rendam dalam air suam
120 gm kacang badam
12 gm serbuk koko
 BAHAN LAPISAN KEDUA
100 gm kacang gajus – rendam semalaman
50 ml minyak kelapa dara
20 ml madu agave
60 gm pisang beku
Sedikit garam Himalaya
BAHAN LAPISAN KETIGA
150 gm kacang gajus – rendam semalaman
50 ml minyak kelapa dara
1 sudu kecil jus lemon
25 ml madu agave
30 gm beri biru beku
CARA
- LAPISAN PERTAMA : Kisar kurma, kacang badam dan serbuk koko sehingga campuran melekat.
- Kemudian, masukkan ke dalam loyang dan tekan hingga padat. Simpan di dalam peti sejuk.
- LAPISAN KEDUA : Kisar kacang gajus yang telah dibersihkan bersama minyak kelapa dara dan madu agave sehingga menjadi pekat.
- Kemudian, masukkan pisang beku bersama garam Himalaya dan kisar hingga berkrim.
- Keluarkan loyang dari peti sejuk dan tuangkan krim ke atas lapisan pertama. Sekatakan krim dan simpan dalam peti sejuk.
- LAPISAN KETIGA : Kisar kacang gajus yang telah dibersihkan bersama minyak kelapa dara, madu agave dan jus lemon sehingga menjadi krim.
- Masukkan beri biru dan kisar sehingga berkrim.
- Keluarkan loyang dari peti sejuk dan tuangkan krim di atas kek lapisan kedua. Sekatakan krim dan simpan dalam peti sejuk selama 6 jam. Selepas itu bolehlah dihidangkan.
Gambar (Azlina Othman)