MISI HALAL HONG KONG – DISNEYLAND

Disneyland Hong Kong

Disneyland. Impian yang tertanam sejak kecil akhirnya terlaksana. Terpana seketika melihat segala kenangan indah waktu kecil kini di depan mata. Hati tersenyum sendirian melihat kanak-kanak yang berkunjung mengenakan gaun puteri Disney sambil menari kegirangan.

Menjejakkan kaki ke kota Disneyland Hong Kong memberikan seribu satu perasaan, namun hati masih gundah memikirkan soal makanan halal. Berjayakah misi Saji di sini? Jam 10.00 pagi dan masih awal untuk menikmati hidangan tengahari. Jadi Saji berkunjung ke Toy Story Land dan mencuba RC Racer, Slinky Dog Spin dan Toy Soldier Parachute Drop. Bersyukur kerana masih belum menjamah apa-apa…hahaha (Jika tidak melayang ratusan ringgit dek kerana muntah)

Mystic Manor juga memberikan satu rasa yang cukup hebat. Bagaimana Albert, seekor monyet nakal yang telah membuka peti ajaib dan mengajak semua pengunjung merasai sendiri kekalutan yang berlaku.

Big Grizzly Mountain Runaway Mine Cars dan Space Mountain juga merupakan mainan yang wajib dicuba jika berkunjung ke Disneyland. Mendebarkan namun mampu melepaskan tekanan.

Disneyland Hong Kong juga telah menetapkan peraturan baru yang melarang penggunaan ‘selfie stick’ atas faktor keselamatan. Dan untuk pengetahuan pembaca, Saji juga dimaklumkan tiada sebarang makanan halal yang disediakan di Hotel Disneyland, jadi sesiapa yang bakal ke sana, diminta ambil perhatian.

Disneyland Hong Kong menawarkan dua restoran yang menyajikan makanan halal dan apa yang pasti ianya cukup berbaloi. Terdapat 12 pilihan menu yang cukup lazat. Jom lihat pilihan Saji.

Pada pandangan Saji, anda boleh berjimat dengan memesan satu hidangan untuk dua orang makan. Saiz hidangan cukup banyak dan mengenyangkan. 5 bintang untuk makanan halal Disneyland.

The Explorer’s Club

Nasi Goreng Kombo HKD139 = RM77

Nasi Ayam Hainan Kombo HKD139 = RM77

Sup Ayam Ginseng Korea HKD159 = RM88

Bento bersama Salmon HKD139 = RM77

 

 

Sekadar maklumat tambahan.

*1HKD = RM0.55

Harga tiket sehari :

Dewasa HKD499 = RM276

Kanak-kanak HKD355 = RM196

 

Dua hari :

Dewasa HKD680 = RM376

Kanak-kanak HKD480 = RM265

 

Jika mahukan suasana santai, apa kata berkunjung pula di Tahitian Terrace Restaurant yang terletak di bahagian Adventure Land. Persinggahan mengisi perut di tempat ala-ala Carribean, memang seronok Terdapat tiga pilihan citarasa iaitu India, Asia dan South East Asia seperti Ayam Masak Merah Kombo, Laksa Singapura dan Rendang Daging Kombo. Jadi tak adalah rindu sangat masakan Malaysia bila di tempat orang.. Apa yang penting, pihak Disneyland juga menyediakan tempat menunaikan solat di City Hall.

Tahitian Terrace

Rendang Daging Kombo HKD112 = RM62

Laksa Singapura HKD109 = RM60

Ayam Masak Merah Kombo HKD109 = RM60

Yellow Lentil Kombo HKD109 = RM60

*setiap menu dihidangkan bersama minuman.

 

Jom layan gambar-gambar di Disneyland Hong Kong.