Membelah tasik dengan Milford Sound

Percutian kali ini cukup mencabar. Mana tidaknya, semua destinasi yang dijadualkan di New Zealand jauh-jauh belaka. Tambahan pula apabila membawa 3 anak kecil bersama, perjalanan tiga jam pasti akan jadi 5 jam..haha.

SAJI pasti bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke South Island, Milford Sound merupakan aktiviti wajib. Betul tak? Mungkin kedengaran stereotaip, ada yang kata kalau nak naik cruise, di Langkawi pun ada. Tapi pengalaman dan pemandangannya cukup jauh berbeza.

Kami memulakan perjalanan seawal jam  7.00 pagi daripada Te Anau. Selepas mendapatkan maklumat mengenai keadaan jalan di i-site Te Anau, kami terus mengisi minyak penuh. Untuk makluman, tiada stesen minyak sepanjang jalan ke Milford Sound.

Perjalanan menuju Milford Sound adalah selama dua jam dan sejauh 118 km. Dan pelayaran SAJI bersama CRUISE MILFORD NZ  pula dijadualkan pada jam 10.45am.

Ok, mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa SAJI memilih CRUISE MILFORD NZ  berbanding cruise popular yang lain. Sebab utama adalah, pelayaran bersama CRUISE MILFORD NZ sangat personal dan cukup istimewa. Layanan yang diberikan memang first class. Nanti SAJI akan terangkan.

Berbalik kepada perjalanan, 2 jam mungkin tempoh yang agak lama, namun pemandangan yang terbentang di depan mata membuatkan setiap detik cukup berbaloi. Terpana dengan keindahan yang superb! Lepas satu-satu mata dijamu, daripada lokasi penggambaran Lord Of The Ring, Glacier, Mirror Lake hinggalah ke sungai yang membiru…subhanallah, tak mampu nak diucapkan dengan kata-kata. SAJI hanya mampu melompat bintang dek kegembiraan terlampau.

  

Setiap yang datang ke sini pasti cukup seronok dengan keletah burung Kea. Terlalu mesra dan jinak sampai dikokaknya getah pintu kereta SAJI…hahaha. Dan satu pengalaman baru apabila melalui Homer Tunnel. Sebaik sahaja melalui terowong, berderau darah melihat keadaan jalan yang sangat curam, bengkang bengkok dan merbahaya.

Sebab itu SAJI sangat sarankan agar memandu sendiri apabila ke New Zealand supaya tidak terikat dengan masa. Nak berhenti kat mana-mana pun tak ada masalah. Iyalah, terlalu banyak pemandangan yang cantik di tepi jalan. Rugilah kalau cuma tengok dari tingkap bas. Cuma itulah, semangat kena kuat, perjalanannya jauh-jauh dan agak merbahaya. Jalan tepi gaung, licin, sempit, curam, semua cukup.

Untuk CRUISE MILFORD NZ , harga tiket adalah seperti berikut :

Dewasa : $80.00 (RM250.00)

Kanak-kanak  (4 – 14 tahun) : $17.00 (RM53.00)

CRUISE MILFORD NZ

Sebaik nakhoda melabuhkan layar, bermulalah pengembaraan selama dua jam menuju Laut Tasman. Dengan cuaca sejuk tahap beku walaupun pada musim bunga, memang cukup awesome dihidangkan dengan teh o panas dan biskut. Apa yang pasti, masuk sahaja ke dalam perut kapal, semua penumpang terus menuju ke dek atas yang lebih eksklusif. Dan jika mahukan sesuatu untuk dikunyah, hanya turun ke bawah. Ada minuman dan biskut disediakan. PERCUMA.

Hari yang cukup bertuah apabila sampai sahaja ke lokasi anjing laut melepak, berderu-deru ikan lumba-lumba datang menyapa kami. Bukan senang nak nampak ikan lumba-lumba tau. Ikut nasiblah.

Melihatkan pemandangan kapal membelah gunung ganang yang diselaputi glasier, terasa seperti dalam dunia fantasi. Air terjun yang mengalir daripada rekahan gunung ganang. Terlalu dongeng untuk realiti. Namun itulah hakikatnya. Sangat awesome.

Terlalu banyak air terjun sepanjang perjalanan dan untungnya naik kapal kecil sebab kapten dapat rapatkan kapal ke tepi dan penumpang bolehlah bermandi air terjun dari tepi kapal. Kata Kapten Chris, mengikut cerita dongeng, siapa yang minum air terjun ini akan awet muda. Apalagi, berebutlah semua menganga mulut. SAJI pun tidak cukup dengan minum, dengan muka dan tangan semua dicuci.

SAJI cukup teruja dengan keramahan Kapten Chris dan pembantunya, Kaitlan melayani semua penumpang. Ada sahaja cerita yang dikongsi bersama. Seboleh-bolehnya, mereka akan pergi ke setiap orang dan berbual mesra.