Festival Gastronomi Antarabangsa Malaysia (MIGF) 2018 kembali menemui penggemar makanan pada tahun ini bermula 1 hingga 30 September depan.
Kali ini, bertemakan “Muhibah Chefs! Good Food Brings Us Together”, festival ini bakal menawarkan pengalaman gastronomi yang unik melalui penyertaan restoran-restoran tempatan sepanjang berlangsung festival itu.
Sebanyak 27 restoran telah terpilih untuk menyertai MIGF 2018 kali ini. Antara restoran tempatan yang menyertai ialah Restoran DC,  Jibby East, Mamanda Kuala Lumpur, 2OX French Bistro, Pampas Steakhouse Old Malaya, e18hteen Inspired Cuisine, Nadodi, Serai @ Pavilion, SukaSucré Bistro, Spice Garden, Summer Palace, Tangerine, The Olive, Drop Exchange dan lain-lain lagi.
Festival tahun ini turut menampilkan hidangan-hidangan dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Perancis, Sri Lanka, Korea, Kantonis, Itali, Asia Selatan, Asia Barat, Asia Fusion dan sebagainya.
Baru-baru ini telah diadakan acara pratonton MIGF 2018 di Hotel dan Pusat Konvensyen Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Selain menikmati sajian lazat, pengunjung boleh membeli-belah di Epicure International Gourmet Village, menghadiri kelas masakan Master Chef dan bengkel gaya hidup pada acara selama dua hari itu.
Majlis diserikan dengan kehadiran Penaung Diraja, Tunku Naquiyuddin ibni Tunku Ja’afar dan Datuk Yean Yoke Heng, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.