Dunia masakan bukan sesuatu yang asing buatnya malah kecekapannya di dapur sudah dipupuk sejak usia kanak-kanak.  Didedahkan dengan ilmu masakan seawal usia tujuh tahun kala kanak-kanak seusia masih leka bermain, Ili sudah dibiasakan memasak di dapur dan menyediakan hidangan tengah hari untuk keluarga. Walaupun dipengaruhi kehidupan moden, neneknya sangat mementingkan kebolehan memasak dan mengemas rumah terutama untuk anak perempuan.

“Pada usia tujuh tahun saya sudah boleh menggoreng ikan dan menyediakan hidangan utama. Saya sangat berterima kasih kepada nenek kerana memperkenalkan bidang masakan kepada saya. Jika tidak sudah pasti saya tidak menjadi seperti sekarang,” katanya anak kelahiran Ampang, Selangor ini.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan nilai kekeluargaan. Walaupun saya anak tunggal dalam keluarga, kami mempunyai ahli keluarga yang ramai, saudara-mara sebelah ibu dan bapa sangat rapat. Nenek pula sering menekankan pembelajaran cara lama, anak perempuan perlu tangkas di dapur, tahu memasak dan mengemas rumah. Itu satu kemestian jika tidak nenek akan membebel dan kami diminta melakukan kerja rumah sehingga dia berpuas hati.

Ili atau nama sebenarnya Ili Khalisah Sulaiman, 31, berasakan tradisi berkumpul dan makan bersama-sama perlu diteruskan kerana makan bersama keluarga adalah waktu paling bermakna. Dari situ wujudnya kemesraan, komunikasi dua hala dan saling bertukar cerita.

Ili masih ingat bagaimana nenek meminta dia bersama sepupu-sepupu yang lain pada usia remaja memasak untuk acara keluarga dan mereka mampu melakukannya. Begitu juga apabila tiba Aidilfitri, dapur pastinya riuh rendah ketika melengkapkan juadah istimewa di dapur.

Kemahiran memasak ini tidak hanya berhenti di situ apabila ia diteruskan ketika dia melanjutkan pengajian ke Universiti Queen Mary di London dalam jurusan perniagaan. Sebagai satu-satunya pelajar Melayu yang mampu memasak dengan baik sudah pasti dia menjadi tumpuan.

Walaupun mempunyai ijazah dalam bidang perniagaan, dia akui lebih berminat dengan industri masakan untuk dijadikan kerjaya.

“Akhirnya setiap kali musim perayaan saya menjadi tumpuan untuk menyediakan juadah Aidilfitri. Namun ia sedikit pun tidak membebankan malah saya gembira kerana saya dapat menyediakan hidangan istimewa untuk teman-teman rapat di sana,” kata wanita kacukan Melayu, Cina, Inggeris dan Sri Lanka ini.

Lapan tahun menetap di London, dia mencari pengalaman dengan bekerja di kafe mewah iaitu Restoran Mosimann dalam bidang pemasaran dan juga pengurus acara. Banyak yang dipelajari bermula daripada cara membuka perniagaan sehingga komunikasi dengan pelanggan dan pengalaman ini digunakan dalam pengurusan restoran Agak Agak. Tambahnya, kemuncak kerjayanya ketika itu apabila menjadi sebahagian daripada pasukan perkhidmatan majlis makan malam untuk Prince William dan isterinya, Kate Middleton di Istana Buckingham.

Mengimbas kenangan Ramadan, ketika kecil rutinnya bersama keluarga, tetapi di sebabkan tahun ini dia sudah membuka restoran mungkin jadualnya akan sedikit berubah. Ili akan bergilir-gilir dengan rakan kongsinya mengendalikan restoran supaya dia dapat berkumpul dan berbuka puasa bersama keluarga.

“Dulu kami akan berkumpul di rumah ibu saudara sama ada di Shah Alam ataupun Selayang untuk berbuka puasa bersama. Kebiasaannya, hidangan yang di masak seperti asam pedas, sambal tumis udang petai, ikan goreng sumbat dan kambing panggang.

“Jika menjelang Hari Raya, kebiasaannya sepupu-sepupu perempuan akan bersama-sama membuat biskut raya. Antara biskut yang biasa dibuat iaitu tart, coklat cip dan juga samperit,” jelasnya yang mengakui menu ikan bakar adalah menu wajib ada sepanjang Ramadhan.

Tambah Ili lagi, dia sangat seronok menyambut Ramadhan kerana ketika itu tidak kira apa jua agama dan bangsa akan tetap menyambut dan merasai suasana Ramadhan bersama-sama.

Selepas dua tahun mengendalikan Dish By Ili, Ili berasakan dia perlu melakukan sesuatu agar individu yang kurang berjaya dalam pelajaran mampu meneruskan kemahiran dalam bidang masakan. Bersama rakan kongsi, Basira Yeusuf dia telah membuka Restoran Agak Agak yang terletak di Art Printing Works, Jalan Riong, Kuala Lumpur dengan memperkenalkan konsep terbuka yang mana pelanggan dapat menikmati juadah sambil melihat sendiri cef memasak di depan mata mereka.

“Saya memang suka konsep terbuka kerana ia adalah satu penghargaan buat cef untuk menonjolkan bakat memasak kepada orang ramai. Agak Agak menyediakan makanan fusion iaitu gabungan menu Timur dan Barat. Lebih menarik apabila restoran ini menjadi tempat latihan cef baru dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan mahupun luar negara,” katanya mula dikenali menerusi program Diari Mangkuk Tingkat Ili di Astro Maya HD.