Segalanya mampu bertukar mengikut cita rasa, pilihan di tangan anda. Mahukan ruang santai gaya jalanan yang lebih hipster, pilih sahaja deretan meja yang tersusun di kaki lima. Namun jika memerlukan ruang personal dan eksklusif, unjurkan kaki setapak ke dalam Geo’s untuk menikmati dekorasi elegan dengan lebih tenang.

Segalanya di bawah satu bumbung, satu ungkapan yang cukup sesuai menggambarkan Geo’s. Terletak di Hartamas, Geo’s cukup terkenal dalam kalangan masyarakat urban dengan konsep street café. Deretan meja memenuhi ruang siar kaki menjadi pilihan golongan muda menghabiskan masa sehingga lewat pagi. Tidak menetapkan sasaran kepada food lover, ulas pemilik, Ahmad Juhairi Mohd Khalid, konsep Geo’s cukup subjektif.

Keluarga bersama anak kecil? Pasangan kekasih? Lepak? Atau hidangan tengah hari bersama rakan sekerja? Tiada spesifikasi ditetapkan, malah terdapat ruang pemisah antara dua bahagian mengikut kesesuaian. Kepelbagaian menu yang tersedia daripada hidangan ala kampung, hidangan petang sehingga ke menu Barat memberi nilai tambah kepada pengunjung. Malah, menu yang terhidang di kompromi dengan selera tempatan.

“Kafe kami bukan hanya untuk food lover. Konsep kami cukup meluas dan sesuai untuk semua golongan. Semuanya daripada pengalaman sendiri, apabila membawa keluarga dan orang tua ke kafe hipster, menu yang tersedia cukup terhad, kadang kala tidak sesuai untuk orang berusia. Dan atas sebab itu, kami pelbagaikan menu untuk setiap peringkat umur.”

Segalanya bermula pada 2007 dengan hanya sebuah stall tumpang di sebuah restoran di Hartamas dengan perniagaan waffle. Mengembangkan perniagaan sedikit demi sedikit dengan membeli gerai bersebelahan atas strategik perniagaan. Katanya, membeli perniagaan sekali gus mengembangkan julat pelanggan. Dan nyata percaturannya tepat.

Jika anda penggemar shell out, di sinilah lokasi terbaik untuk menikmati hidangan di atas meja bersama keluarga dan teman. Namun disarankan untuk membuat tempahan terlebih dahulu kerana Geo’s hanya menyediakan hidangan segar untuk pengunjung.

11 Off Jalan 26/70A, Desa Sri Hartamas

Kuala Lumpur, Malaysia 50480