Mungkin ramai yang tidak tahu maksud `budaya rewang’ lebih-lebih lagi golongan muda. Rewang adalah istilah Jawa yang memberi makna tolong-menolong dan bergotong-royong untuk sesuatu majlis seperti perkahwinan, doa selamat dan cukur jambul.

Bagi Cef Amer Hamzah sesetengah masyarakat, panggilannya bukan rewang, misalannya di Kelantan dikenali sebagai`bekwoh’ namun konsepnya tetap sama. Tidak kira, lelaki atau wanita, muda atau tua, bekerjasama, tolong menolong, bantu membantu membuat persiapan sesuatu majlis sehingga selesai.
Pendapat Cef tentang budaya rewang?

Jika kita lihat, umumnya budaya rewang ini sama sahaja di mana-mana. Cuma kalau dahulu, budaya rewang ini merangkumi semua perkara dari sebelum bermulanya majlis hinggalah selesai majlis. Tetapi kini kebanyakan tugas itu telah diambil alih oleh pihak katering ataupun perancang majlis.
Biasanya budaya rewang ini dilakukan apabila masyarakat kita ingin membuat sesuatu majlis seperti majlis kenduri kahwin, kenduri arwah atau menyambut sesuatu keramaian. Bermula daripada penyediaan khemah, bahan, proses memasak, menghidangkan, melayan tetamu, mengemas hinggalah membasuh pinggan mangkuk serta periuk belanga. Semua sanak saudara dan orang kampung akan berganding bahu menjayakan majlis.

Kongsi kebaikan rewang?
Bukan saja katering, malah pelamin juga sekarang perlu disewa. Berlainan sekali dulu, semuanya dibuat secara gotong-royong kerana orang dulu terlalu teliti dan ada alasan positif di sebaliknya. Tanpa disedari juga, pemilihan konsep moden seumpama ini nyata menjauhkan matlamat rewang sebenar iaitu menyatukan masyarakat dan keluarga selain melancarkan perjalanan majlis perkahwinan serba meriah.
Rewang memberi banyak manfaat kerana hidangan kenduri dimasak secara bersama. Rewang tidak lagi menjadi perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat atau dianggap agak remeh, sebaliknya digantikan dengan amalan katering yang lebih memberi keuntungan kepada pihak tertentu.

Cara untuk kembalikan budaya ini?

Bagi saya untuk mengembalikan budaya rewang ini, terlebih dahulu kita kena fahami bagaimana budaya ini berkembang. Budaya rewang hanya akan terjadi jika sesuatu komuniti atau kejiranan itu agak akrab, saling kenal mengenali, sentiasa berhubung dan yang lebih penting sikap bertolak ansur serta tolong menolong perlu ada dalam diri masing-masing.
Bagi masyarakat Jawa, ada sesetengah tempat masih melakukan acara rewang ini, antara menu yang biasa dihidangkan adalah nasi putih yang dipadankan dengan ayam atau daging masak kicap, sambal goreng, masak opor, sambal tahun, pecel dan tidak lupa sambal belacan serta ulam-ulaman.