Status Orang Kurang Upaya (OKU) cacat pendengaran yang ada padanya bukanlah dianggap satu kekurangan. Tetapi status istimewa itu menjadi penguat semangat untuknya agar lebih berusaha dan berjaya seperti orang normal lain, malah lebih lagi. Pemilik nama Nor Adzleen, atau lebih mesra disapa Chef Leen ini telah membuktikan dia mampu berjaya seperti orang lain apabila kedai dan jenamanya Sugar Village by Chef Leen mula dikenali ramai meskipun perniagaannya itu baru menginjak usia tiga tahun.

Bukan sahaja OKU malah dia juga ibu tunggal. Salute!

Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui minatnya dalam bidang pembuatan pastry dan kek menjadi tunjang utama kepada kejayaan ini. Lebih manis lagi, Chef Leen turut mendapat perhatian pihak tertentu apabila diberi peluang mengendalikan satu kiosk di stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang telah mula operasi baru-baru ini.

Jelasnya lagi, tidak dinafikan kekurangan dari segi pendengaran yang ada padanya sedikit menyukarkan dirinya untuk mengatur langkah lebih jauh dalam bidang perniagaan ini, tetapi dia turut bersyukur apabila adiknya, Ilham Karim kini bersama-sama dengannya bagi menguruskan perniagaan ini.

Adik dan pekerja yang menjadi tulang belakang Chef Leen..

Bergiat aktif sebagai sukarelawan membantu golongan OKU yang lain, Chef Leen langsung tidak loket ilmu membantu OKU lain agar berjaya sepertinya. Disebabkan itu dia sering menganjurkan kelas masakan untuk OKU lain agar dapat menceburi bidang perniagaan atau untuk diri sendiri.