Please enter banners and links.

Oleh: Noor Joha Ahmad

Bercerita tentang kek lapis, sudah pasti kita terbayangkan kek lapis Sarawak yang unik cara pembuatannya. Lain pula ceritanya tentang kek lapis atau lebih dikenali sebagai kek lapis legit dari Indonesia.

Kek lapis legit Indonesia popular di Medan, Surabaya dan Jakarta. Pun begitu kek lapis ini dijual menyeluruh di Indonesia.

Boleh dikatakan kek lapis menjadi  kek perpaduan negara tersebut kerana ia dijadikan hidangan penting untuk perayaan Hari Raya, Krismas dan sambutan Tahun Baru Cina. Ini bermakna ia diterima semua  tanpa mengira apa jua agama dianuti, dan ini dapat membuktikan kek lapis amat unik.

Selain digunakan untuk perayaan yang besar, ia juga dihidangkan untuk majlis-majlis kecil seperti majlis doa selamat, mesyuarat, majlis perkahwinan, dan majlis pelancaran acara.

Terdapat pelbagai variasi kek lapis dan ia dijual bermula dengan harga RM10.00 hingga RM60.00 bergantung pada kualiti. Kualiti yang dimaksudkan ialah penggunaan jenis mentega, bahan campuran lain, jenis tepung dan sebagainya.

Bagi orang kita, kek lapis legit kurang digemari kerana ia dicampurkan terlalu banyak rempah ratus yang membuatkan rasa kurang  menyenangkan. Bagaimanapun sekarang ini di Indonesia, ada kek lapis yang mengurangi penggunaan rempah dalam pembuatan kek.

Tahukah anda kek lapis yang popular di Indonesia itu berasal dari mana? Kek  dikenali Spekkoek (bahasa Belanda) diperkenalkan orang Belanda yang pernah menjajah Indonesia. Kek jenis ini banyak dijual di Belanda dan cita rasa berempah dalam kek lapis ini diinspirasi  kerana sumber rempah seperti kulit kayu manis, cengkih dan bunga lawang yang mudah didapati di Indonesia. Kaum wanita bangsa Belanda memperkenalkan kek lapis ini di bumi Indonesia dan ia masih bertahan sehingga sekarang ini.

Kini kek lapis diberi pelbagai cita rasa dengan mencampurkan bahan seperti keju, kismis, kurma, prun, kekacang dan coklat. Kek lapis yang baik seharusnya melebihi 18 lapisan.