OLEH: NOOR JOHA AHMAD

Jika anda bosan dengan mi biasa, mengapa tidak bertukar kepada mi telur? Mi telur sememangnya agak asing bagi kalangan masyarakat Melayu, kerana orang kita lebih gemar dengan mi kuning biasa.

Mi jenis ini banyak dijual di pasar raya dalam bentuk kering . Mi telur yang disimpul bulat dan tebal agak mudah digunakan. Dengan merebusnya seketika dan ia mudah lembut. Biasanya orang Cina banyak menggunakan mi jenis ini. Selain dijadikan mi berkuah sup, ia juga digoreng.

Mi ini biasa digoreng hanya menggunakan beberapa bahan terpilih dan tidak sama dengan cara memasak mi kuning biasa.

Mi telur biasa dimasak menggunakan isi ayam yang direbus, udang, daging dan cendawan. Ia tidak menggunakan banyak sayuran seperti kubis, sawi, tauge dan  daun kucai.

Selain itu mi jenis ini tidak digoreng menggunakan cili kering kisar, tetapi cukup dengan tumisan bawang putih, dan sedikit minyak bijan, dan sos tiram ataupun sos ikan. Penggunaan kicap juga boleh digunakan untuk mi telur.

Jika dia dimasak sup, barulah dimasukkan beberapa sayuran. Bagi kita yang ingin mencuba mi jenis ini, bolehlah diubah resipi yang ada mengikut selera kita. Campuran sayuran yang sesuai selain cendawan ialah, hirisan lada benggala dan juga brokoli bagi menaikkan seri warna pada masakan mi telur.

Bagi saya mi jenis ini boleh dipelbagaikan cara masakannya. Salah satu selain sup, ia boleh digoreng bersama sayuran berwarna-warni dan dicampurkan udang, atau bersama cendawan dicampurkan dengan hati ayam.

Menurut sejarah, mi jenis ini berasal dari daerah Shanxi, China. Ia diperbuat daripada tepung gandum, telur dan air dan garam.

Penggunaan mi di negara China bermula sejak Dinasti Han pada 260 Sebelum Masehi, dan kedai menjual mi mula bertapak pada tahun 960-1279 semasa Disnasti Song.