Foto: ZULFAIZ ZAKARIA

Bagi penggemar makanan Sarawak yang tinggal di sekitar Shah Alam, apa kata mencuba masakan dari bumi kenyalang di restoran Dapur Sarawak. Selari dengan nama restoran, Dapur Sarawak menyajikan pelbagai hidangan menu dari bumi kenyalang.
Terletak di Lot XG-23, Jalan Plumbum X7/X, Seksyen 7 Shah Alam, Selangor, Dapur Sarawak diasaskan oleh pelakon, Mahmud Ali Basha bersama kakaknya, Habshah Ali Basha dan juga abang ipar beliau, Sharifuddin Junaidi.

Restoran Dapur Sarawak di Shah Alam ini merupakan cawangan kedua dan telah mula beroperasi sejak awal tahun ini. Cawangan pertama Dapur Sarawak sudah beroperasi sejak 2008 di Diamond Square, Jalan Gombak, Kuala Lumpur dan berpindah di Jalan Sarikei off Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada tahun 2012.

Menurut Mahmud, keenakan dan keaslian masakan Sarawak di Dapur Sarawak berjaya memikat hati orang ramai untuk singgah makan di restoran tersebut. Bukan sahaja dikunjungi oleh masyarakat Sarawak malah orang Semenanjung.

Mee Kolok

“Di sini kami mengekalkan resipi asli dari Sarawak dengan menggunakan bahan seperti digunakan di Sarawak. Kebanyakan bahan yang digunakan seperti mi kolok, belacan, gula apong, pes, rempah dan macam-macam lagi diterbangkan khas dari Sarawak bagi mengekalkan rasa sebenar hidangan Sarawak.

“Selain bahan yang digunakan dalam masakan disini, keaslian resepi juadah Sarawak disini dijamin dengan penyediaan makanan oleh tukang masak yang juga orang Sarawak.

“Di sini hidangan mi kolok dan laksa Sarawak adalah menu yang paling banyak dipesan pelanggan. Alhamdulillah, sehingga kini sambutan pelanggan amat menggalakkan dan banyak komen yang positif kami terima.

“Kami mengambil keputusan untuk membuka cawangan kedua di Shah Alam ini atas permintaan ramai pelanggan yang mahukan satu lagi cawangan yang dekat dengan mereka agar mudah untuk mereka menikmati hidangan Sarawak,” katanya ketika ditemui di Dapur Sarawak cawangan Shah Alam baru-baru ini.

Habshah pula memberitahu bahawa harga yang ditawarkan di sini amat berpatutan dan mereka tidak pernah menaikkan harga sejak dibuka.

Nasi Goreng Cornbeef

“Kami amat mementingkan kualiti dalam hidangan kami. Oleh itu, kami sentiasa memantau dan mendengar komen pelanggan terhadap makanan kami. Jika perlu diperbaiki akan menambah baik menu tersebut. Dari semasa ke semasa, kami juga akan menambah menu baru bagi memberi pilihan baru kepada pelanggan.

“Selain beroperasi sebagai sebuah restoran, Dapur Sarawak turut menawarkan khidmat katering untuk pelbagai majlis. Kami menerima tempahan katering untuk 50 pax sehingga 4000 pax ,” ujar beliau.

Antara hidangan istimewa dan menjadi pilihan pelanggan di Dapur Sarawak adalah Mee Kolok, Laksa Sarawak, Nasi Manok Panggang, Nasi Aruk Dabai dan Nasi Aruk Cornbeef. Hidangan lain yang turut mendapat permintaan pelanggan ialah Mihun Belacan, Mee Jawa, Mi Kolok Goreng dan Mi Kolok Crispy.

 

Laksa Sarawak

Dapur Sarawak turut menyediakan pelbagai pilihan minuman istimewa seperti Teh C Special, Teh C Special Cincau, First Lady, Soda Rose Kalas dan macam-macam lagi. Teh C Special adalah minuman yang sama seperti teh tiga lapis cuma berbeza kerana menggunakan gula apong yang rasa manisnya lebih sedap dan unik.

Kepada yang berminat untuk merasai keenakan makanan Sarawak, boleh berkunjung ke Dapur Sarawak di Seksyen 7, Shah Alam ini. Pasti anda tidak akan kecewa kerana rasa hidangan di Dapur Sarawak memang rasa asli negeri Sarawak disamping harganya yang berpatutan.

Dapur Sarawak (Cawangan Shah Alam)
Lot XG-23, Jalan Plumbum X 7/X, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula 12.00 tengah hari sehingga 11.30 malam.

Dapur Sarawak (Cawangan Kuala Lumpur)
No.19, Jalan Sarikei off Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Dibuka setiap hari bermula 10.00 pagi sehingga 10.30