JELAJAH MASA DI SEVEN TERRACE

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Melalui lorong-lorong sempit dikelilingi bangunan rumah kedai usang . SAJI hanya mengikut arah yang diberi. Tiada sebarang tanda terdapat butik hotel di kawasan kecil itu. Kereta terus menyelusuri Lorong Stewart , Georgetown dan setelah dihubungi, staf SEVEN TERRACE menanti di tengah-tengah lorong kosong. Hati terus tertanya-tanya, mana hotelnya? Takkan di hujung lorong? Rasa skeptikal terus bersarang.

Saat pintu utama dibuka, SAJI terus dibawa menaiki mesin masa kembali ke abad 19. Terus terkesima melihat sekeliling. Padan muka, getus hati. Don’t judge a book by its cover, faham?

Pemandangan yang cukup mendamaikan. Perasaan yang kaya dengan kebudayaan datang ketika itu. Indahnya. Satu perasaan yang cukup sukar untuk digambarkan. Teruja macam nak melompat bintang 25 kali.

Kebudayaan Baba Nyonya diterjemahkan dengan cukup sempurna menerusi senibina, reka bentuk dan perasaan yang ditanam dalam pembikinan SEVEN TERRACE oleh pemilik, Christopher Ong.

Secara jujurnya, SAJI seolah-olah tenggelam dalam zaman Baba Nyonya zaman dahulu kala. Mana tidaknya, lihatlah sendiri bagaimana ketenangan yang dicipta. Halaman tengah yang cukup luas dikelilingi 16 bilik tetamu dan dhiasi dengan tempat istirehat di tepi kolam mandi, priceless.

Menurut pemilik, Chris, beliau mula mengumpul barangan antik sedari usia 15 tahun dan mengabdikan koleksi peribadinya di sini. Siapa yang melihat pasti tercengang dengan koleksi yang cukup unik dan sukar didapati. Jika kepingin untuk duduk di atas pangkin Baba Nyonya, di sinilah tempatnya.

Dan lebih unik dan cukup misteri, jendela yang berpasangan dengan dua pintu utama akhirnya bertemu semula selepas 30 tahun terpisah. Dan kenangan itu diabadikan oleh Chris di ruangan lobi hotel.

Masa untuk masuk ke bilik. SAJI diberikan Terrace Duplex yang mempunyai dua tingkat dan dua bilik. Tidak tahu apa yang harus dijangka. Saat membuka selak pintu, WOW!!! Seperti kamar anak raja. Cukup unik, cukup berbeza.

Daripada pintu masuk, ruang tamu, bilik tidur sehinggalah ke bilik air memberikan sensasi yang cukup WOW! Cukup mewah. Cukup indah. Segalanya mengekalkan tradisi Baba Nyonya warisan keluarga Chris yang berhijrah ke Tanah Melayu sejak 1880-an.

Jom lihat bilik airnya. Kalau masuk, memang dua jam pun tak mahu keluar. Seluas sebuah bilik bujang. Memang puas bergolek-golek. Kalau nak mandi sambil menikmati pemandangan luar, hanya bukakan pintu yang bersambung ke ruang balkoni, dan nikmati petang anda.

Apa yang menarik, butik hotel ini cukup bermurah hati dan memahami masalah pelancong. Setiap minuman yang disediakan di dalam bilik adalah percuma dan mereka menyediakan kabel untuk setiap jenis telefon. Jadi tak perlulah susah hati kalau kabel tertinggal di rumah.

Dan SAJI sangat-sangat berterima kasih kepada staf SEVEN TERRACE iaitu Wendy, Zac dan Edmun di atas layanan yang sangat-sangat baik.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan