Mentega sering digunakan dalam masakan terutamanya kek dan biskut. Secara amnya, mentega adalah produk tenusu yang diperbuat daripada susu asli. Kebanyakannya diperbuat daripada susu lembu untuk tujuan komersial.

Sebelum mentega terhasil, susu akan melalui proses bagi memisahkan lemak susu dan cecair. Lemak susu itu kemudian dijadikan pepejal dan dibungkus seperti produk mentega yang ada hari ini.

Ciri-ciri mentega adalah ia mempunyai rasa dan aroma yang kuat dan tajam.  Warnanya kuning pudar berbeza dengan warna marjerin yang berwarna kuning pekat. Mentega adalah produk yang tidak tahan pada suhu panas dan biasanya disimpan di dalam peti sejuk. Ia mudah cair berbanding dengan marjerin yang lebih tahan pada suhu bilik.

Terdapat dua jenis mentega iaitu mentega asli dan mentega lepa susu. Mentega asli mengandungi lebih 80 peratus lemak susu dalam kandungan beratnya. Manakala mentega susu lepa pula mengandungi kandungan lemak yang lebih rendah.

Ini kerana mentega lepa susu telah dicampurkan dengan bahan lain seperti minyak kelapa sawit, minyak isirong, lecitin soya, perisa (mengandungi susu), susu tepung, perisa dan pewarna (beta carotene) dan lain-lain.

Kandungan lemak yang lebih dalam mentega asli juga membuatkan harga mentega asli lebih mahal dijual berbanding mentega lepa susu. Kedua-dua jenis mentega ini boleh didapati dalam keadaan bergaram (salted) atau tidak bergaram (unsalted).

Mentega adalah sumber vitamin yang sangat baik. Salah satu daripada banyak vitamin yang bermanfaat kita dapat daripada mentega ialah Vitamin A yang mempunyai pelbagai fungsi untuk badan kita.

Vitamin A menggalakkan pertumbuhan tulang, pertahanan terhadap penyakit, memperbaiki struktur kulit serta mengekalkan penglihatan yang baik. Selain daripada Vitamin A, mentega juga mempunyai vitamin larut lemak lain seperti Vitamin D, E dan K.