Jambu batu atau jambu biji (Psidium Guajava Linn) merupakan buah-buahan tropika. Nama saintifik jambu batu adalah dari keluarga “Myrtaceae”.

Jambu batu dipercayai berasal dari kawasan antara Peru dan Mexico iaitu di kawasan Tropika Amerika. Jambu batu tersebar ke merata kawasan tropika dan sub Tropika. Di Malaysia, kawasan penanaman secara komersil bermula pada pertengahan tahun 1980.

Pokok jambu ini sederhana besar dan setinggi 10 meter. Jambu batu adalah buah yang paling berkhasiat bagi membekalkan vitamin dan mineral kepada tubuh manusia. Ia juga efektif menurunkan paras kolesterol dalam darah manusia dan amat bagus sekiranya dimakan setiap hari. Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan berfungsi yang banyak mendatangkan manfaat kepada kesihatan manusia.

Bagaimanapun, pengambilan buah jambu batu perlu dibuat dalam jumlah yang mencukupi bagi memastikan khasiatnya berupaya memberi tindak balas kepada tubuh secara berkesan. Kita digalakkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari iaitu sebiji setengah selama empat minggu untuk mendapat kesan yang baik. Ia perlu dimakan bersama kulitnya sekali kerana mengandungi khasiat yang tinggi. Selain dimakan begitu sahaja, buah jambu batu juga boleh dibuat jus tetapi cara penyediaannya perlu asli iaitu tidak ada gula di dalamnya. Jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan. Bagi mereka yang menghadapi masalah paras kolesterol tinggi dalam darah, jambu batu boleh mengurangkan kolesterol iaitu 18.8 peratus dalam masa seminggu tetapi pesakit mestilah mengambil buah jambu batu setiap hari bagi memastikan keberkesanannya.