Delima (Punica Granatum) merupakan sejenis pokok renek atau pokok kecil daun luruh yang berbuah dan boleh membesar sehingga ketinggian lima hingga lapan meter. Pokok delima berasal dari Baratdaya Asia dan ditanam secara semula jadi di seluruh kawasan Lembah Mediterranean dan Kaukasus sejak zaman purba.
Delima juga ditanam secara meluas di negara seperti Iran, Iraq, India, Algeria, Armenia, Pakistan, Syria, Turki, Afghanistan, Azerbaijan, kawasan lebih kering di Asia Tenggara seperti Semenanjung Malaysia, India Timur, dan kawasan tropika di Afrika.
Buahnya kaya dengan sifat antioksida yang tinggi dan zat besi penting dalam pembentukan darah merah. Seseorang yang kekurangan zat besi akan mengalami penyakit anemia. Buah delima juga boleh memperbaiki usus-usus dan menguatkannya, membersihkan bahagian dalam tekak serta sesuai untuk mereka yang mengalami masalah batuk. Selain itu, buah delima yang masam juga boleh mencegah muntah, menghentikan cirit-birit dan melawaskan air kencing. Ini kerana buah delima mengandungi bahan pencengkam yang mampu memegang dinding saluran perut. Buah delima boleh tahan selama 6 bulan, jika disimpan di dalam peti ais.