Apa istimewanya ikan tongkol di Aceh? Jika di Pantai Timur negara kita, ikan tongkol banyak digunakan untuk dijadikan lauk nasi dagang. Tetapi di Aceh ikan tongkol yang juga dinamakan ikan kayu juga mempunyai fungsi yang banyak dalam kulinari seharian mereka.

Ikan kayu atau tongkol di Aceh dimasak dengan pelbagai cara. Keistimewaan ikan kayu di sana boleh disimpan lama, kerana ia direbus, jemur dan salai. Ikan yang telah diproses ini akan dijadikan pelbagai masakan berkuah, tumis dan goreng. Ikan kayu proses ini dinamakan keumamah.

Ikan yang telah dibersihkan direbus dengan mencampurkan garam selama setengah jam. Kemudian ikan ditos bagi mengurangi kandungan air yang diserap dalam isi ikan. Setelah itu ikan dijemur sehingga ia kering dan selanjutnya ikan akan dibuang tulangnya. Ikan kayu yang besar dibelah empat dan dikeringkan semula sebelum disimpan.

Proses pengeringan tidak mengambil masa lama, dan jika cahaya matahari terik, ia boleh dikeringkan selama sehari sahaja.

Jika ia hendak digunakan, isi ikan boleh dihiris nipis atau tebal mengikut kesesuaian masakan. Kebiasaannya isi ikan kayu keumamah yang tidak ada tulangnya ini digulai kuning, ditumis cili, tumis belimbing buluh, dimasak kari dan juga gulai seperti gulai nasi dagang.

Keumamah biasanya akan dimasak menggunakan belimbing buluh, dan ditaburkan cili padi yang tidak ditumbuk sama seperti gulai nasi dagang.

Masakan Aceh agak cenderung menggunakan santan dalam masakan mereka. Ia tidak jauh beza dengan masakan Melayu kita dan juga masakan Padang dan Pekan Baru.

Jika anda berkunjung ke Aceh dan makan di restoran yang menjual masakan khas Aceh, biasanya mereka akan menghidangkan lauk-pauk menggunakan piring kecil seperti mana di restoran masakan Padang.

Salah satu masakan yang mirip dengan masakan kampung negara kita ialah sayur air ataupun sayur bening. Masakan ini menggunakan sayur bayam, petola, kacang panjang, jagung dan kemudian dicampurkan daun limau purut, dan bawang merah sahaja. Sayuran lain yang biasa dihidangkan ialah seperti tumis tauge dengan tauhu.

FOTO : SUMBER GOOGLE