IKAN CARA MINDANAO DAN MALUKU

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Jika negara kita ada masakan singgang ikan dan daging,  di Filipina ia dikenali sinigang. Sinigang atau singgang Filipina agak berbeza dengan negara kita, kerana ramuannya lebih ringkas tetapi menggunakan banyak sayuran.

Penggunaan ikannya juga berbeza, kerana di Filipina mereka lebih gemar menggunakan ikan berisi putih dan lembut seperti siakap dan ikan senangin.

Sinigang agak sama seperti asam rebus kerana ia menggunakan banyak air asam jawa dalam kuahnya. Masakan berkhasiat dan tidak berkolesterol tinggi ini sesuai bagi mereka yang berdiet dan mementingkan kesihatan badan.

Masakan ini dikatakan berasal dari pulau Visayas dan Mindanao. Selain menggunakan ais asam jawa, ada juga daerah-daerah yang menggantikannya dengan buah belimbing buluh, mangga muda dan air perahan limau kasturi.

Selain ikan, mereka juga menggunakan daging, udang dan udang untuk sinigang. Sayuran yang selalu digunakan dalam kuah sinigang ialah, bendi, keladi, kangkung, terung, cili hijau, kacang panjang, dan sebagainya. Masakan ini juga tidak ubah seperti sayur asam yang popular di Indonesia. Bezanya sayur asam tidak menggunakan ikan tetapi cuma sayuran.

Resipi kuahnya agak mudah, hanya menggunakan hirisan halia dan bawang dan bancuhan air asam jawa. Kemudian dicampurkan air dan direbus selama setengah jam. Setelah itu barulah dimasukkan ikan dan sayuran pilihan, gula dan garam. Biasanya mereka menggunakan sos ikan sebagai perasa tambahan.

Satu lagi masakan yang seakan masakan negara kita,  kuah kuning Maluku. Kuahnya seperti asam rebus kita, tetapi mereka lebih gemarkan ikan jenis tongkol. Pun begitu ikan jenis lain juga boleh digunakan. Antara ikan yang boleh digunakan ialah, seperti, ikan merah, siakap, dan tenggiri. Selain Maluku, kepulauan di sekitarnya seperti Ambon juga popular dengan masakan ini. Ada dua jenis kuah kuning, satu yang menggunakan santan, dan ada yang tidak. Penggunaan santan mengikut selera masing-masing.

Kepulauan Maluku yang semestinya kaya dengan makanan laut pastinya menyajikan hidangan berkonsepkan ikan yang begitu lazat. Kalau sinigang menggunakan ramuan yang ringkas, tetapi berbeza dengan masakan Maluku khususnya dan Indonesia amnya. Apa yang menarik dalam masakan ini ada sesetengah daripada mereka menggunakan batang daun sirih yang diketuk dan dimasukkan dalam kuah kuning. Aroma daun sirih menjadikan masakan ini agak unik. Selain itu apa yang membezakan kuah asam kita dengan kuah kuning ini, bahannya ditumis terlebih dahulu. Ia tidak sama seperti membuat asam rebus yang tidak memerlukan bahan yang ditumis.

Seperti biasa, antara ramuan yang tidak pernah dilupakan ialah seperti lengkuas, buah keras, daun kemangi atau selasih, kunyit dan sebagainya. Kuah kuning ini tidak menggunakan air asam jawa ataupun asam gelugur bagi mendatangkan rasa masam pada kuah, tetapi menggunakan perahan air limau nipis.

Ini membuatkan masakan kuah kuning beraroma. Kuah kuning ini selain dimakan dengan nasi, ia juga dimakan dengan papeda, sejenis makanan ruji di sana. Papeda ialah sagu yang dimasak seperti mana yang ada di Sarawak dan Sabah.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan