House Of Nasi Kerabu (HONK).

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Hidangan yang dipersembahkan kepada kami cukup menggiurkan. Apatah lagi melihat udang galah menjulur keluar daripada pinggan, seolah-olah melambai-lambai perut yang sedang berkeroncong. Mata berkalih pula kepada hidangan Nasi Kerabu Lamb Chop, kerak sos yang berkaramel membuatkan Saji hanya mampu menelan air liur menunggu waktu santapan. Ini semua penangan House Of Nasi Kerabu (HONK).

Dan memang cukup berbaloi menunggu, pilihan Saji sudah semestinya Nasi Kerabu Lamb Chop kerana kambing diperasakan dengan cukup sempurna. Kesedapannya terasa sehingga kini. Saji bagi 5 bintang untuk hidangan ini.

Nasi Kerabu Udang Galah pula menjadi menu paling popular di sini. Bukan sahaja lazat hingga menjilat jari, namun harga yang dikenakan cukup berpatutan. Pelanggan boleh memilih antara saiz L atau XL (ikut tembolok masing-masing).

Apa yang istimewa, menurut pemilik, Rohayu Mamat dan Shamil Awang, budu dan rempah kelapa parut menggunakan resipi rahsia turun temurun sejak 1949. Malah, HONK juga bakal menyediakan menu terbaharu iaitu King Crab dan sotong besar pada awal tahun depan.

Malah Shamil turut berkongsi kaedah yang betul untuk menikmati Nasi Kerabu. Ulasnya, Nasi Kerabu haruslah digaulkan budu, ikan, kelapa parut dan ulam agar rasanya lebih serasi. Itulah kenikmatan sebenar. Jika tidak, ibarat minum teh tanpa gula.

Dalam pada seronok berkongsi cerita, kata Rohayu, dia memohon maaf kepada semua pelanggan di atas kekurangan HONK. Gara-gara HONK menjadi viral, restorannya seolah-olah dilanda tsunami. Kekurangan pekerja dan ketidaksediaan menerima lautan pelanggan menyebabkan timbul ketidakpuasan hati. Dan pelanggan terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama kerana lauk pauk hanya akan dimasak mengikut tempahan untuk mengekalkan kesegaran.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan