Satu kek sahaja?

Hairan bin Ajaib. Berani sungguh mereka jual hanya satu jenis kek. Tak bolehlah nak jamu mata tengok barisan kek yang mengancam diet. Nak pilih apa kalau hanya jual satu kek sahaja? Aduh, tak faham kenapa ramai sangat yang cadangkan SAJI untuk pergi ke Kedai Kek Bangi.

Tak pernah dibuat dek orang, buka kedai kek tapi jual satu kek. Kedengaran lucu tapi itulah kebenarannya. Dek kerana satu kek itulah, Kedai Kek Bangi menjadi viral satu Malaysia. Ramai yang sanggup berkunjung ke Bangi semata-mata mahu menikmati Kek Butterscotch. Sampai jem Bangi dibuatnya.

Daripada beroperasi di dalam stor rumah dan sebiji oven kecil untuk membakar sebiji kek sehinggalah terbinanya sebuah kedai, apa lagi yang harus diulas mengenai kelazatannya? Mula bertatih daripada Ogos 2013, hasil penat lelah Zetty Nurakmal Azura binti Rashied dan suami, Taufik bin Abdul Latef terbalas dengan cukup lumayan.

Menurut Zetty, dia sengaja memilih untuk menjual hanya KEK BUTTERSCOTCH. Pada awalnya, dia menyediakan pelbagai jenis kek, namun mengakui sukar untuk menguruskan pesanan dengan peralatan dan masa yang terhad. Dan kebetulan kek Butterscotch merupakan kek paling ‘laku keras’ dan atas sebab itu, tercetus idea dengan hanya menjual satu jenis kek.

“ Mungkin kami satu-satunya kedai kek di Malaysia yang hanya menjual satu jenis kek. Lagipun senang untuk pelanggan pilih, tak perlu pening sebab terlalu banyak pilihan. Apa yang penting, kek kami mampu milik kerana kami mahu semua dapat merasai kelazatan kek Buttersctoch,” ulasnya.

Untuk sebiji kek 1.2 kg dijual dengan hanya RM79.00. Jika sekadar mahu merasa, bolehlah dapatkan kotak kecil 100 gram dengan RM7.00.

Dan apa kata cuba nasib dengan menyertai cabutan bertuah setiap bulan dan berpeluang memenangi kek 2.5kg bernilai RM169.00.

FOTO : SYAFIQ AFFENDY SHAMSULAKMAR