Tryst = Budak Subang Jaya, Memang Ada Gaya

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Jika boleh menyewa di sini, sudah lama Saji jadikannya sebagai rumah kedua. Ruang persinggahan yang cukup selesa dan kena dengan jiwa muda (walaupun kami tak berapa nak muda…hehe). Ada ruang melepak, ruang berdiskusi sambil berchit-chat, ada pilihan game board dan banyak lagi. Semua terpulang kepada diri sendiri.

Apa yang pasti, banana pancake yang disajikan cukup memikat hati. Hidangan yang cukup ringkas namun bijak untuk terus mengikat pelanggan terus berkunjung. Apatah lagi diserikan dengan padanan daripada pakar kopi. Anda pasti terkesima saat menghirup kopi Tryst. Darjah kepanasan ketika dihidangkan sehinggalah ia menyentuh bibir anda, segalanya dititikberatkan oleh pakar kopi ini. Disebabkan itu, Tryst tidak pernah lengang daripada menjadi tempat persinggahan.

Baru 2 tahun menjengah peminat kopi, namun kini Tryst boleh berbangga apabila memiliki lagi dua cawangan di Shah Alam dan Bukit Jelutong. Menurut pemilik, Haikal Hashron bin Hashim dan kakaknya, Shaidatul Nurashikeen, Tryst bermula hanya dengan perbincangan ringkas. Sudah tertulis rezeki, segalanya berjalan cukup mudah.

Permulaannya juga mencipta satu kelainan. Sengaja membuka pintu pada jam 12.30 malam pada hari pertama, mereka tidak menyangka percubaan unik itu, ada pengunjungnya. Petanda baik itu dijadikan pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik.

Dan nyata pasangan adik beradik ini bijak menambat hati pelanggan, mana tidaknya, ada yang sanggup menyambung pengajian di Subang semata-mata mahu terus menikmati kopi lazat Tryst. Malah, pelanggan setia dijadikan official tester setiap hidangan terbaharu café hipster ini.

FB DAN Instagram – TRYSTSS15

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan