Macam-macam kejadian pelik berlaku di Kajang kebelakangan ini. Lebih pelik bila kedengaran Harimau Menangis tersedu sedan. Kenapa ni? Ada kejadian mistik kah? Kena panggil Mastika datang merisik khabar rasanya.

Jadi, Saji pun cuba mengikut alunan suara sayu yang akhirnya membawa ke Food Valet Sungai Ramal, Kajang. Berderau darah melihatkan deretan manusia beratur sehingga ke gerbang pintu. Masing-masing kepingin nak melihat gerangan harimau menitiskan air mata. Kata orang, gerai itu menjual daging harimau, sebab itu ibu rimau menangis kesedihan.

Sah, memang betul. Daging Rimau Menangis dijual dengan harga RM17.00 sepinggan bersama nasi dan sup perut air asam. Fuhh, memang rare sungguh. Tapi jangan salah faham, sebenarnya Daging Harimau Menangis adalah istilah istimewa yang merujuk kepada bahagian daging paling lembut disebabkan kurangnya otot bergerak.

Rasa lemak (buttery) setelah dimasak ini yang menyebabkan bukan sahaja harimau menangis, dengan kita semua pun mampu menangis kalau tak dapat. Daging ini terletak di celah peha bahagian kaki belakang lembu dan agak mahal kerana hanya terdapat dua bahagian bagi seekor lembu. Omputeh panggil, striploin.

Gerai yang terletak di Food Valet, Sungai Ramal ini hanya menampilkan 3 menu utama dan 2 menu rahsia. Alang-alang Saji dah datang, meh Saji bongkarkan menu rahsia yang ada…jeng jeng…2 menu rahsia itu adalah Burito Harimau Menangis dan Ramen Harimau Menangis. Menu lain, boleh lihat di papan menu yang tersedia.

Apa yang menarik, daging Harimau Menangis ini dijual dengan harga yang sangat mampu milik. Menurut pengurus, Zulhilmi bin Jamil, harga pasaran bagi 50 gram adalah sekitar RM35.00. Namun di gerai Nasi Harimau Menangis, potongan separuh harga diberikan bagi menikmati hidangan lazat ini.

Ulasnya lagi, terdapat banyak elemen kejutan untuk pelanggan yang rajin bertanya. Jika bernasib baik, daging eksotik seperti daging rusa turut dijual, namun ianya bergantung kepada pembekal. Daging apa lagi yang ada? Rajin-rajinkan bertanya, mana tahu anda bernasib baik.

P/S : Gigitan pertama di bahagian lemak daging yang dibakar di atas api itu cukup asyikkk. Sedap sampai tak sanggup nak telan.

FOTO : ROHAIDA ZULKIFLI