OLEH : NOR EZANAWATY SALIM

“Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya dan yang paling penting kita belajar daripada kegagalan lalu dan bina semula kejayaan,” kata Pengasas dan Pengarah Urusan Fatihah FrozenFood Sdn Bhd, Fatihah Anis Ibrahim, 55.

Dia telah berjaya membuktikan kegagalan dan status sebagai ibu tunggal bukanlah penghalang untuk dia kembali bangkit mencipta kejayaan. Siapa sangka produk sejuk beku membawa namanya sejauh ini. Semua nya bermula ketika Fatihah mengidam murtabak sewaktu hamil anak pertama di United Kingdom (UK) pada awal 1980-an.

Bermula dengan karipap sejuk beku yang menjadi perintis deretan makanan sejuk bekunya, dia kini memiliki hampir 20 jenis makanan termasuk samosa (berinti ayam, daging, kentang dan sayur-sayuran), roti sardin bersalut, karipap crispy, sardin gulung, roti boom, popia sayur, ais krim goreng, cucur badak dan karipap pusar. Selain itu terdapat juga Royaleparatha, Royaleparatha durian, murtabak mini dan banyak lagi.

“Saya memulakan perniagaan karipap pusar sejak masih bersekolah di Kota Bharu, Kelantan. Ketika itu saya hanya membuat dalam kuantiti yang sedikit antara satu hingga dua kilogram tepung sehari. Karipap itu saya letak di gerai makan sekitar kampung.

“Waktu itu terpaksa buat sendiri dan selebihnya disimpan dalam peti sejuk. Dari semasa ke semasa pula, saya memperbaiki lagi resipi makanan berkenaan,” katanya memenangi kategori Teknopreneur MARDI baru-baru ini.

Kemudian, apabila mengikut suaminya ketika itu tinggal di United Kingdom, dia semakin banyak mencuba resipi berkenaan kerana susah untuk mencari makanan tempatan.

JATUH BANGUN        

Kini, dalam tempoh 30 tahun, dia mengalami beberapa kali kejatuhan. Begitu pun setiap kali jatuh, dia mampu bangun dan terus mengorak langkah.

Menceritakan jatuh bangunnya dalam perniagaan, Fatihah berkata, tanpa hati yang kental serta ketabahan, syarikat pengeluaran makanan sejuk beku itu mungkin sudah tidak wujud dan berkubur.

Apabila pulang ke Malaysia, dia semakin ligat berniaga dengan mengeluarkan pelbagai makanan sejuk beku atas jenama FatihahFrozen. Ia bukan saja semakin dikenali di seluruh Malaysia malah cukup popular di Brunei.

Tapi, ketika Fatihah sedang mendaki ke puncak, dia menerima dugaan besar apabila berpisah dengan suami. Begitupun wanita tabah ini reda dan meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal bersama tiga orang anak.

“Selepas itu, setelah berpindah ke Kuala Lumpur membuka peluang perniagaan kepada Fatihah dan memulakan operasi di rumah di Taman Maluri. Promosi dilakukan hanya menerusi mulut ke mulut dan penghantaran menggunakan motosikal.

“Perkembangan positif membuatkan kami optimis dengan keupayaan yang ada, lalu membuka syarikat Fatihah Frozen Food Sdn Bhd pada 1994 di Kampung Baru, Kuala Lumpur, manakala kilang pula di Pandan Indah,” katanya yang mengakui resipi makanan sejuk bekunya mampu bertahan lama tanpa sebarang bahan pengawet.

BANGKIT SEMULA

Akuinya, bantuan disalurkan agensi kerajaan, termasuk TEKUN, MARA, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuatkan syarikatnya bangkit semula.

Beroperasi di Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR), Batu Caves sejak 2010, proses pengeluaran 20 produk Fatihah Frozen semakin produktif dengan penggunaan teknologi luar negara secara automatik untuk dipasarkan di Pasar Raya Mydin, Giant, Tesco dan AEON BIG, dua outlet di Bangi dan Shah Alam, beberapa hotel dan beberapa kedai kopi seluruh Malaysia.

Memiliki Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan terbaru, pengiktirafan Praktis Pengilangan Baik (GMP) membuatkan langkah Fatihah Frozen Food semakin luas apabila berjaya memasuki pasaran China, Brunei dan Singapura, malah merancang menembusi pasaran Jerman dan negara Asia Barat.

INOVASI BARU

Lebih membanggakan Royale Paratha bukan sahaja dimakan bersama kuah dal ataupun kari tetapi diberi sentuhan baru.Kini Royale Paratha boleh di pelbagaikan untuk menghasilkan menu-menu yang menarik seperti tat telur portugis, danish kastard oren, piza, waffle paratha bersama ais krim, kuih bulan dan pelbagai lagi.