D’BAKUL SAJIAN INDONESIA

Oleh :Rosmarlinda Kamarudin

Sesekali kita tukar selera dengan menikmati hidangan sajian Indonesia pun enak jugakan..?! Naknya pula, hidangan yang disajikan itu, kena dengan selera kita. Hari ini bagaikan cendawan tumbuh, kewujudan restoran yang menyajikan hidangan Indonesia.

Salah satunya restoran D’ Bakul yang terletak di Subang Jaya. Restoran ini sememangnya, lain dari yang lain. Sebab apa saya kata begitu, lihat saja bubu yang di letakkan  dihadapan pintu restoran. Ia satu simbolik yang sangat unik, mempunyai maksud yang tersirat. Apakah rahsia di sebalik kisah bubu dan bakul?

UNIK & KREATIF

Melangkah masuk ke dalam D’Bakul, terasa diri seperti berada di Kepulauan Indonesia. Alunan muzik tradisional serta dekorasi restoran seakan sebuah galeri yang mempunyai sentuhan tersendiri. Restoran seluas satu setengah tingkat ini, di kelilingi dengan barangan antic dari seberang. Di bahagian atas pula, terdapat satu sudut galeri kraftangan dari Indonesia.

Kedatangan kami disambut mesra oleh Pengurus Restoran, Pak Dicky. Dia mempunyai pengalaman luas dalam industri pemakanan. Orangnya ramah dan baik budi pekertinya. Tanpa perlu bertanya, Pak Dicky terlebih dahulu menerangkan maksud D’Bakul. Cerita Pak Dicky, bakul begitu dekat di hati orang Indonesia. Ini kerana sudah sekian lama sejak zaman nenek moyang lagi, orang Indonesia menghidangkan nasi di dalam bakul.

“Konsep ini kami bawa ke Malaysia. Ia secara tidak langsung mengembalikan nostalgia lalu agar ia tidak pupus ditelan zaman. Bila orang ingat bakul akan teringat nasi. Nah nasinya itu,pasti aja di D’Bakul,” ujarnya mesra.

CITARASA ASLI KEPULAUAN INDONESIA

D’Bakul menyajikan lebih dari 50 jenis hidangan dari PulauJawa, Bandung dan Padang. Antara hidangan yang disukai ramai seperti nasi bakar, ayam komplit, udang sambal petai, ikan tilapia goreng, gado-gado Betawi, sup ikan kelapa muda dan gulai ayam. Harga setiap menu amat berpatutan sesuai dengan kualiti sajian yang disajikan. Apa yang pasti, makan di sini seperti anda berada di rumah. Apatah lagi, hidangannya pula sememangnya menepati citarasa. Penggunaan rempah ratus asli dan segar antara rahsia keenakkan masakan di sini. Ada juga sebahagian bahan mentah di bawa khas dari Indonesia.

“Kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami di sini. Kami akan memastikan setiap pelanggan yang datang dengan perut kosong, akan pulang dengan perut kenyang serta berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan,” tegas Pak Dicky jujur.

Kami turut menjamah hidangan yang disajikan. Ternyata ia cukup enak. Barulah kami faham maksud yang tersirat di sebalik simbolik bubu itu. Iabagaikan menambat hati pelanggan untuk berterusan menikmati sajian D’Bakul.

SESUAI UNTUK MAJLIS

Menurut Pak Dicky, D’ Bakul turut menerima tempahan untuk sebarang majlis. “Kami menyediakan buffet serendah dari RM 45.  Ia terpulang dari keselesaan pelanggan sama ada ia mahu dihidang atau buffet. Jika mahu dihidang, harganya pastinya sedikit lebih,”jelasnya. Tegas Pak Dicky lagi, rata-rata pelanggan di restorannya itu datangnya dari sekitar Subang Jaya, Putrajaya, Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

RESTORAN D’BAKUL

Unit 55 A, Jln USJ 10/1F

Taipan UEP, Subang Jaya,

Selangor.

Tel : 03-80206813/03-80231212