Bersantai di Hydeout Cafe

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Hydeout Cafe. Namanya saja sudah mempunyai tarikan yang tersendiri dengan pengunjung membuat pelbagai tafsiran tentang makna yang tersirat di sebaliknya. Menunya ringkas tapi kaya dengan rasa. Itulah yang dirasa tatkala masakan Itali , Pasta Imelda yang dicuba krew SAJI masuk ke mulut. Apakan tidaknya, di sebalik hidangan kelihatan ringkas ini, ia langsung tidak kurang dengan rasa. Itu keistimewaan antara menu masakan Barat yang terdapat di sini.

Walaupun berkonsep kafe, pemiliknya Imelda Maya Harris tidak mengehadkan pilihan makanan, malah pengunjung boleh mendapatkan lebih daripada 150 menu makanan dan minuman yang boleh dinikmati di sini.

Biarpun banyak pilihan menu di sini, anda tidak perlu panik. Ini kerana, menu sedia ada mengikut pilihan seperti sarapan pagi, set makan tengah hari, menu sepanjang hari, salad dan pelbagai lagi. Pilihan tersebut sudah cukup untuk membuatkan anda kenyang serta berpuas hati dengan apa yang anda makan.

Lebih berbaloi lagi, setiap menu ditawarkan dengan harga berpatutan mengikut satu-satu jenis hidangan.

Selain itu, terdapat menu hujung minggu seperti laksa Sarawak, nasi aruk, oh my sri kenyalang, squid ink seafood pasta, hydeout surf n turf dan hydeout seafood heaven. Menu ini hanya ditawarkan dari jumaat hingga ahad sahaja.

Jika anda berkunjung ke sini untuk menikmati makan tengah hari anda perlu datang dari jam 11 pagi hingga 2 petang.  Anda boleh mencuba nasi goreng ayam, mi goreng mamak, ayam atau daging panggang bersama nasi dan salad, fish n chips, mi sup ayam dan butter chicken rice bowl. Semua ini berharga antara RM 12 hingga RM18. Set hidangan ini disertakan bersama segelas air sirap dan pemanis mulut iaitu lengkong.

“Konsep di Hydeout lebih relax, chill dan cozy sesuai untuk mereka yang mahu menikmati hidangan bersama keluarga. Pelanggan yang berkeluarga biasanya memilih dari jam 8 malam. Manakala jam 10 malam ke atas kebiasaannya remaja.

“Matlamat kami di sini adalah untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan.  Kepuasan ini pula adalah dalam bentuk rasa makanan itu.

“Selain itu, di sini juga kami menawarkan perkhidmatan untuk membuat jamuan mengikut budget pelanggan. Untuk majlis kecil-kecilan di sini boleh memuatkan hampir 100 orang tetamu dalam satu-satu masa,” katanya yang membuka cafe ini bersama teman-temannya iaitu Firdaus Harun Rashid, Irfan Azriman dan Adam Azhari.

Grilled Chicken Sandwich
Laksa Goreng
Laksa Sarawak
Hydeout Cucur Jagung

Memulakan operasi pada penghujung Mei lalu, tetapi sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Lokasi dan tarikan yang ada di Hydeout menjadi kan tempat ini sesuai dijadikan tempat lepak, bertemu teman dan bersosial. Jika anda peminat shisha, di sini ditawarkan pelbagai perisa shisha.

Melengkapkan lagi hidangan, Hydeout turut menyediakan pelbagai jenis kopi yang dikisar sendiri seperti kopi americano, cappuccino, espresso double, latte dan mocha.

           HYDEOUT MONT KIARA

Kiara Designer Suites,

Jalan Kiara 3, Kuala Lumpur

11 pagi – 2 pagi (Isnin hingga Khamis)

11 pagi – 4 pagi (Jumaat hingga Ahad)

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan