BELULANG MASAKAN TRADISI KINI DIKOMERSIALKAN

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Bila sebut belulang, pasti ada di antara kita yang tidak tahu. Percaya atau tidak,  ada yang pernah menikmati keenakannya tetapi tidak tahu itulah belulang. Apa itu belulang sebenarnya? Belulang ialah kulit lembu atau kerbau yang telah dikeringkan.

Belulang merupakan masakan warisan turun temurun yang sangat popular di Negeri Sembilan dan Pahang. Belulang merupakan hidangan yang sangat enak, jika kena dengan cara masakan dan proses menghasilkannya.

Memang benar, proses untuk menghasilkan belulang sangat rumit dan memakan masa lama bergantung pada cuaca. Jika hari panas, kulit lembu akan mudah kering dengan cepat. Kebiasaannya, mengambil masa antara satu bulan hingga satu bulan setengah untuk menghasilkan 8 kg hingga 15 kg belulang. Produk berasaskan belulang lembu kini sudah mula dikomersialkan memandangkan banyak permintaan dipasaran.

Belulang yang telah diproses bersih.

PROSES MENGHASILKAN BELULANG

  1. Kulit lembu atau kerbau akan dijemur. Jika musim panas, masa dua minggu sudah cukup memadai untuk menghasilkan belulang. Jika sebaliknya, ia mengambil masa lebih dari 2 hingga 4 bulan untuk proses pengeringan.
  2. Setelah dikeringkan, kulit lembu akan dipotong sederhana besar untuk memudahkan proses membakar. Kulit lembu dibakar untuk membuang bulu-bulu yang melekat pada kulit.
  3. Proses seterusnya, dengan merendam kulit lembu dengan tujuannya untuk melembutkan.
  4. Belulang yang telah lembut dibersihkan dan dipotong kecil-kecil untuk memudahkan proses memasak.

BELULANG MASAK CILI PADI

BAHAN

1 kg belulang

30 tangkai cili padi

3 labu bawang besar

6 ulas bawang putih

2 cm  halia

2 cm  lengkuas

1½ cm  kunyit

4 batang serai

1 biji santan kelapa – ambil santan

3 keping asam gelugur

2 helai daun kunyit

Gula dan garam

CARA

  1. Rebus belulang sehingga empuk. Angkat dan tuskan.
  2. Tumbuk halia, serai, lengkuas, cili padi, bawang putih, bawang besar dan kunyit. Masukkan ke dalam periuk. Kemudian tuangkan sedikit santan.
  3. Masak di atas api sederhana kecil sehingga mendidih.
  4. Masukkan belulang, asam gelugur dan daun kunyit.
  5. Kemudian masukkan ke semua santan dan didihkan sehingga masak.

 

 

 

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan