Pineapple – whole & sliced

Nanas atau nama saintifiknya Ananas Comosus L. berasal dari Amerika Selatan,  dan banyak ditanam di kawasan tropika dan subtropika. Pokok nanas tergolong dalam kumpulan herba dan ketinggiannya boleh mencecah 50 sehingga 150 sentimeter.  Ia hidup subur di tanah pamah dan menghasilkan saiz lebih besar, manis dan banyak jus berbanding jika ia ditanam di tanah tinggi.

Daunnya panjang dan berbentuk tirus. Hujungnya tajam, tepi daun ada yang berduri, berisi dan berserabut dan memeluk batang daun. Gabungan buahnya seperti paksi jambak bunga berwarna hijau atau merah semasa muda, manakala setelah masak berwarna kuning, jingga atau merah. Isi nanas ada yang bewarna kuning terang dan kuning emas setelah masak serta mempunyai rasa berjus manis masam yang menyelerakan dan sering menjadi bahan pilihan dalam masakan dan minuman.

Selain rasa yang lazat dan boleh menambah cetusan rasa dalam masakan dan minuman, nanas juga buah yang sungguh menyihatkan kerana ia kaya dengan vitamin C, serat, vitamin B6, mangan, tembaga, vitamin B1 dan folat.

Kandungan mangan dan vitamin B1 penting untuk pengeluaran tenaga dan pertahanan antioksidan. Mereka yang menjaga kesihatan selalunya akan memasukkan nanas dalam diet mereka kerana kebaikannya yang tinggi untuk kesihatan tubuh. Selain vitamin A dan C, nanas juga kaya dengan mineral seperti fosforus, kalsium, potassium dan kalori yang semuanya membantu memberikan kesihatan yang baik kepada mereka yang gemar memakannya.

Antara faedah kesihatan yang boleh didapati daripada amalan memakan nanas adalah kandungan vitamin C yang tinggi di dalam buah berkenaan mampu meningkatkan sistem pertahanan badan dan membantu melawan jangkitan virus yang menyebabkan batuk dan selesema. Vitamin C adalah antioksidan utama larut air dan mampu mempertahankan semua bahagian berair tubuh daripada serangan radikal bebas yang merosakkan sel normal.

Nanas juga mampu membantu menyihatkan tubuh semula kerana kaya dengan bromelain yang berkesan menghilangkan batuk dan menyingkirkan mukus. Ia popular sebagai makanan yang mampu membina dan menguatkan tulang kerana ia mempunyai mangan iaitu mineral yang diperlukan oleh tubuh untuk membina tulang dan tisu penghubung. Sebagai tambahan, nanas juga dipasarkan dalam bentuk produk makanan dan minuman seperti campuran buah-buahan koktil, jem, jeli, jus, sos, jeruk, dan bebola daging fiber nanas.

 

Bayam atau nama saintifiknya Amaranthustricolor L. tergolong dalam kumpulan keluarga Amaranthaceace. Bayam berasal dari Asia Tenggara dan biasanya terdiri daripada beberapa variasi yang dibezakan oleh warna daun.

Antara jenis bayam dijumpai bayam putih atau Amaranthusviridis dan bayam merah Amaranthusgangeticushort. Pembiakannya adalah melalui bijih benih dan tumbuhan ini tergolong dalam golongan herba semusim.

Bayam mempunyai bunga kecil yang terbentuk dalam jambak yang sederhana besar. Bunga terhasil pada ketiak daun dan pucuk. Daun bayam ada yang berbentuk bujur dan ada yang berbentu bulat.

Daun bayam terdapat dalam pelbagai warna campuran hijau dan merah, hijau dan ungu serta hijau tua dan hijau muda. Bayam dapat hidup subur di tanah gambut, beris dan tanah lombong yang mempunyai pH antara 5.5 hingga 6.5. Bayam memerlukan air yang banyak bagi pertumbuhannya. Bayam mula menghasilkan bunga selepas empat hingga lapan minggu ditanam. Bayam perlu dituai sebelum ia berbunga bagi mendapatkan bayam yang lembut dan tidak liat.

Komposisi zat dalam sayur bayam terdiri daripada tenaga, air, protein, lemak, karbohidrat, serabut, abu, kalsium, beta korotena, vitamin B1, vitamin B2, niasin dan vitamin C. Bayam mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan manusia.

Antara khasiat bayam seperti dapat mengekalkan kesihatan mata, mengawal tekanan darah rendah, anti mencegah kanser, memberi nutrisi kepada tulang dan sendi, serta meningkatkan memori. Selain itu, bayam juga bagus untuk kesihatan kulit. Jusnya dapat dapat membantu pesakit anemia kerana mengandungi kandungan zat besi yang tinggi.

Akar bayam juga dapat digunakan bagi menghentikan pendarahan. Ia direbus dan dan disapu pada bahagian yang terlibat. Amalan pemakanan bayam juga dapat menambahkan kandungan susu ibu. Tambahan pula, bayam disyorkan kepada pesakit yang menghidap demam panas dan masalah ginjal.