Bawang adalah bahan ramuan yang sering digunakan dalam masakan harian. Ia mempunyai rasa dan keunikan tersendiri yang menambah rasa dan juga menaikkan aroma masakan. Terdapat pelbagai jenis bawang yang berbeza dari segi saiz, warna dan bau. Tiga jenis bawang yang sering digunakan iaitu bawang kuning, bawang merah dan juga bawang putih.

 

Bawang putih

Bawang putih bukan saja digunakan dalam bentuk segar atau mentah, ia juga dikeringkan dan diproses dalam bentuk serbuk. Ia sememangnya terkenal di kalangan masyarakat tidak kira di mana dan apa bangsanya.Ia merupakan bahan masakan rendah kalori selain rasanya yang tersendiri menambah keenakan hidangan. Sedikit sahaja penggunaan bawang putih dapat menaikkan aroma dan juga rasa masakan. Disebabkan itu ia menjadi bahan yang peting dalam sesuatu resepi atau masakan di pelbagai negara.

 

Bawang kuning

Bawang kuning juga dikenali sebagai bawang Holland. Ia juga digunakan untuk menambah rasa yang sedap dalam masakan.Rasa bawang besar bergantung kepada kepelbagaiannya, ada yang ‘pedas’ dan ‘kuat’ tetapi ada juga ada yang ‘sederhana’ dan ‘manis’. Bawang kuning bukan sahaja menambah rasa tetapi juga keenakkan dan tekstur masakan.

 

Bawang merah

Selain bawang putih dan bawang kuning, kita banyak juga menggunakan bawang merah dalam masakan. Ia mempunyai rasa yang lembut dan manis berbanding dengan bawang kuning. Terdapat dua saiz bawang merah iaitu bawang merah besar dan bawang merah kecil. Bawang merah kecil mempunyai saiz yang lebih kecil dan berbentuk bujur berbanding bawang merah besar. Rasanya pula lebih lembut dan manis.